Pages

Friday, April 6, 2012

Damsyik mula undur tentera


GENEVA: Pihak berkuasa Syria memberitahu perunding antarabangsa, Kofi Annan, mereka mula mengundurkan tentera dari tiga kawasan pemberontak sebagai sebahagian daripada pelan damai menamatkan konflik bermula lebih setahun lalu.
Jurucakap Annan, Ahmad Fawzi, berkata pengunduran rejim Bashar al-Assad itu membabitkan kawasan Deraa, Idlib dan Zabadani.

“Pada masa sama, negara anggota PBB diminta menyediakan tentera bagi menyertai misi memantau pelaksanaan gencatan senjata dan mereka akan dihantar ke Syria selepas 10 April,” katanya.
Media tempatan melaporkan, antara 200 hingga 250 pemantau tanpa senjata akan dihantar ke kawasan konflik secara berperingkat-peringkat.

Menurut Ahmad, pihaknya cuba mengesahkan laporan pengunduran berkenaan melalui pemantauan pasukan baru yang dijangka tiba di Syria hari ini.

Pelan damai itu dirangka Annan dan menetapkan tarikh akhir 10 April ini untuk pengunduran tentera dan senjata berat dari kawasan dikuasai pemberontak.
Ia akan diikuti dengan penggantungan serangan pemberontak dalam tempoh 48 jam.

Kata Ahmad, mereka berharap pada 10 April ini, Syria melengkapkan pengunduran itu dan menghentikan penghantaran tentera ke kawasan lain.
“Justeru, kita menunggu reaksi kedua-dua pihak untuk menamatkan keganasan pada 10 April ini,” katanya. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Annan akan berbincang dengan pegawai kanan Iran di Teheran pada 11 April.

Iran adalah sekutu utama Syria di Timur Tengah. - Reuters

No comments: