Pages

Tuesday, April 17, 2012

Serangan Taliban dipatahkan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Beberapa orang anggota polis Afghanistan berkawal dekat sebuah kenderaan yang ranap selepas digunakan dalam serangan berani mati di hadapan sederet bangunan yang menjadi sasaran serangan militan Taliban di Kabul, semalam. - AFP


KABUL 16 April - Serangan nekad yang dilancarkan oleh militan Taliban di beberapa bandar di Afghanistan semalam, berakhir awal hari ini dengan 36 militan, lapan anggota keselamatan Afghan dan tiga orang awam terbunuh.
Serangan ke atas bangunan-bangunan kerajaan serta kedudukan tentera dan kedutaan asing di ibu negara ini dan tiga wilayah berdekatan, berakhir selepas pertempuran selama 17 jam apabila pasukan keselamatan Afghan menggempur kubu terakhir penyerang di Kabul.
Kira-kira 40 anggota pasukan keselamatan Afghan dan 25 penduduk awam turut cedera dalam keganasan itu, manakala seorang militan ditawan di Jalalabad, kata Menteri Dalam Negeri, Bismillah Mohammadi.
"Beberapa pemberontak di Kabul memakai burqa dan membawa bunga sebelum melepaskan tembakan, tetapi sekali lagi, seperti pada masa lalu, kesemua pemberontak dibunuh oleh pasukan keselamatan Afghan," katanya.
Dalam laporan berasingan, Jabatan Polis Kabul berkata, seorang lelaki disyaki pengebom berani mati ditangkap hari ini di kawasan Pul-i-Charkhi yang menempatkan beberapa kemudahan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul.
Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan-serangan itu sebagai menandakan permulaan 'kempen serangan musim bunga' pemberontak itu.
Ketua Polis Kabul, Mohammad Ayoub Salangi berkata, kira-kira 40 penduduk awam yang dijadikan tebusan di dalam sebuah bangunan dekat Parlimen semalam turut dibebaskan malam tadi.
Tindakan Taliban menggempur Kabul merupakan serangan bersepadu terbesar dilancarkan di ibu negara ini dalam tempoh perang selama 10 tahun selepas rejim itu digulingkan dalam serangan AS pada akhir 2001.
Serangan itu meningkatkan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang goyah di Afghanistan ketika NATO bersiap sedia untuk mengundurkan 130,000 askarnya menjelang akhir 2014 dan menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan negara ini kepada pasukan bersenjata Afghan.
NATO, bagaimanapun memuji ketangkasan pasukan keselamatan Afghan menangkis serangan itu di Kabul. - AFP

'via Blog this'

No comments: