Pages

Tuesday, April 17, 2012

Ganjaran 10 juta pound tangkap Obama

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:




LONDON 16 April - Parti Buruh Britain semalam menggantung seorang anggota Parlimennya, Lord Nazir Ahmed (gambar) selepas beliau dilapor menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta pound (RM49 juta) bagi menangkap Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.
Ahmed yang menganggotai dewan tertinggi Parlimen, House of Lords turut menawarkan ganjaran sama untuk menangkap bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai membalas ganjaran yang ditawarkan oleh AS bagi menangkap suspek militan, Hafiz Muhammad Saeed, lapor akhbar Pakistan, Express Tribune.
Hafiz Saeed yang menubuhkan pertubuhan militan Pakistan, Lashkar-e-Taiba dikehendaki berhubung serangan pengganas yang membunuh 166 orang di Mumbai pada 2008.
"Kami telah menggantung Lord Ahmed sementara siasatan dijalankan, dan jika kenyataannya benar seperti dilaporkan, kami mengutuknya sama sekali dan menganggapnya sebagai sangat tidak wajar.
"Masyarakat antarabangsa sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari keadilan bagi mangsa serangan bom di Mumbai dan membanteras keganasan," kata seorang jurucakap Parti Buruh, semalam.
Ahmed dipercayai membuat tawaran itu semasa berucap di Haripur, Pakistan pada Jumaat lalu.
Beliau yang dilantik ke House of Lords pada 1998, menyifatkan ganjaran AS itu sebagai 'penghinaan kepada semua umat Islam', menurut laporan media Pakistan.
"Jika AS boleh menawarkan hadiah sebanyak AS$10 juta (RM31 juta) bagi menangkap Hafiz Saeed, saya juga boleh mengumumkan ganjaran sebanyak 10 juta pound untuk menangkap Presiden Obama dan George Bush," menurut laporan itu, yang memetik kenyataan Ahmed.
Ahmed menafikan membuat kenyataan itu tetapi beliau membidas Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair berhubung perang di Iraq dan Afghanistan.
"Saya tidak menawarkan ganjaran tetapi saya berkata, jenayah perang telah dilakukan di Iraq dan Afghanistan dan tuduhan-tuduhan berat ditujukan terhadap Bush dan Blair yang terlibat dalam perang 'haram' dan patut dibawa ke muka pengadilan," katanya dari Pakistan. - AFP

'via Blog this'

No comments: