Pages

Sunday, April 22, 2012

Iskandar peluk Islam setelah sering lihat kalimah Allah

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


Lapan saudara baru memeluk Islam (dari kiri) Teh Chai Kok, Pang Chon Siong, Lau Sook Lee, Pang Yun Ang, Teng Hie King, Alex Chua Kim Soon serta dua anaknya Chua Tsim Yee (baju merah jambu) dan Crystal Chua Tsim Rho pada Majlis Pengislaman Saudara Baru Islam di Surau Agib Kampung Telok Mawar, Bukit Katil, Melaka, semalam. - BERNAMA
MELAKA 21 April - Sejak enam tahun lalu, Alex Chua Kim Soon sering terlihat kalimah Allah pada pokok dan juga di langit sebelum dia terdorong untuk mempelajari tentang Islam dan akhirnya menganuti agama tersebut hari ini.
Ahli perniagaan berusia 37 tahun itu yang kini mengguna nama Iskandar Abdullah, berkata, dia amat bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam sejak berbelas-belas tahun dahulu akhirnya tercapai jua.
''Semuanya bermula selepas saya memohon kepada Tuhan supaya diberikan petunjuk selepas merasakan seperti ada yang kurang lengkap di dalam hidup ini.
''Tidak lama selepas itu, sekitar tahun 2005, saya kerap terlihat kalimah Allah dalam tulisan Jawi di mana-mana sahaja seperti di pokok dan di langit. Sejak itulah, saya mempelajari Islam dengan lebih mendalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengislaman Saudara Baru di Surau Agib, Kampung Telok Mawar, Bukit Katil di sini bersama tujuh saudara baru lain yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Turut sama memeluk agama Islam ialah isterinya, Teng Abdullah, 39, sambil ditemani dua anaknya, Katherine Chua Tsim Yee, 5, dan Crystal Chua Tsim Rho, 3.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Agibs Sdn. Bhd., Datuk Abdul Ghaffar Ibrahim selaku penganjur majlis tersebut dan Pengerusi Badan Kebajikan Persaudaraan Islam Melaka, Mohd. Shahrin Abdullah @ Clifford.
Menurut Iskandar, dia bersyukur kerana niatnya memeluk Islam tidak mendapat tentangan daripada keluarga malah terkejut kerana isterinya juga tidak menghalang sebaliknya meminta beliau segera berbuat demikian.
"Selepas itu barulah saya tahu, rupa-rupanya isteri terlebih dahulu dalam diam-diam telah mempelajari tentang Islam tanpa pengetahuan saya dan bersyukur kerana urusan saya itu dipermudahkan Allah," katanya.

'via Blog this'

No comments: