Pages

Wednesday, April 25, 2012

60 korban di Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Gambar bertarikh 15 April merakamkan beberapa orang penduduk Syria berjalan di tengah-tengah bangunan yang rosak teruk di Inshaat, Homs akibat serangan tentera Syria. - AGENSI
DAMSYIK 24 April - Hampir 60 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan di beberapa kawasan di Syria semalam, walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan dan 300 pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal dihantar untuk memantau gencatan senjata itu.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia hari ini berkata, sejumlah 54 orang awam dan lima askar terbunuh di beberapa wilayah.
Seramai 31 penduduk awam maut dalam serangan tentera ke atas kawasan kediaman Arbaeen di bandar Hama, tengah negara ini, manakala 13 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban dalam letupan di kampung Jarjanaz, wilayah Idlib.
Rakaman video yang disiarkan di Internet oleh aktivis menunjukkan tompokan-tompokan darah di sebatang jalan di Arbaeen dan wanita menangis.
Keganasan itu berlaku sekalipun gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 12 April dan kehadiran pasukan awal pemerhati tentera PBB untuk memantau gencatan senjata itu.
Pertempuran juga dilaporkan berlaku pada subuh hari ini antara tentera dengan pemberontak di pinggir Damsyik.
Tiga orang cedera dalam satu letupan bom kereta di daerah Merjeh, tengah Damsyik hari ini, sementara bunyi tembakan dan letupan turut kedengaran di Douma, pinggir ibu negara ini.
Pertumpahan darah yang terus berlaku 12 hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa mencetuskan kritikan daripada pemberontak terhadap misi awal pemantau PBB, yang masih terdiri daripada 11 pemerhati berbanding 30 anggota yang dirancangkan.
Dalam pada itu, Presiden Tunisia, Moncef Marzouki berkata, rejim Presiden Bashar al-Assad sudah berakhir dan beliau lambat-laun akan melepaskan kuasa sama ada 'hidup atau mati'.
"Rusia, China dan Iran yang menyokong Assad sejak pemberontakan meletus pada tahun lalu perlu menyedari orang ini (Assad) 'sudah habis' dan beliau tidak mungkin dipertahankan lagi," kata Marzouki dalam wawancara dengan akhbar Al-Hayat, semalam. - AFP

No comments: