WASHINGTON 24 April - Pentagon menubuhkan sebuah agensi perisikan baru yang akan memberi fokus kepada Iran dan China ketika Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) itu mula mengalihkan perhatian dari zon perang di Iraq dan Afghanistan.
Agensi baru dikenali sebagai Perkhidmatan Rahsia Pertahanan (DCS) itu akan menggunakan ejen, kuasa dan aset sedia ada, di samping menjalinkan kerjasama erat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk mengesan ancaman yang bakal timbul, lapor akhbar New York Times (NYT), semalam.
"Agensi itu akan membolehkan kami membuat liputan secara lebih rapi dan menyeluruh," kata seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan.
Pegawai kes daripada Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) yang sedia ada sudah pun mengutip maklumat risikan di luar zon pertempuran konvensional dan penubuhan agensi baru itu mengukuhkan lagi kerjasama antara tentera dengan CIA, lapor NYT.
Agensi baru itu akan dianggotai oleh beberapa ratus lagi ejen pada tahun-tahun akan datang menerusi pertukaran kakitangan dan pembiayaan daripada peruntukan sedia ada, menurut laporan itu.
Pengumuman mengenai agensi baru itu dibuat seminggu selepas Pentagon mencalonkan Leftenan Jeneral Michael Flynn, yang sebelum ini berkhidmat dengan Pemerintah Operasi Khas Bersama (JSOC), untuk mengetuai perisikan tentera.
JSOC mendalangi pembunuhan ramai suspek ketua militan di Iraq dan Afghanistan dalam tempoh beberapa tahun lalu, dan melaksanakan operasi komando khas AS yang membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden hampir setahun yang lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment