Pages

Wednesday, April 25, 2012

1,200 askar Sudan Selatan maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Mayat seorang budak lelaki rentung dalam satu serangan udara yang dilancarkan tentera udara Sudan di sebuah pasar di Rubkona berhampiran Bentiu, semalam. - Reuters
HEGLIG, Sudan 23 April - Sekurang-kurangnya 1,200 askar Sudan Selatan terbunuh dalam pertempuran sengit dengan tentera Sudan untuk menguasai kawasan telaga minyak utama Sudan di Heglig, kata komander angkatan bersenjata Sudan hari ini.
"Bilangan anggota Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM) yang terbunuh ialah 1,200 orang," kata Komander Kamal Marouf semasa berucap kepada beribu-ribu askar Sudan di kawasan itu.
Askar Sudan Selatan menduduki Heglig pada 10 April lalu sebelum dipaksa berundur semalam.
Angka kematian sukar disahkan tetapi seorang wartawan AFP yang mengiringi Marouf berkata, mayat askar Sudan Selatan yang reput bergelimpangan di bawah pokok-pokok di kawasan pertempuran.
Katanya, mayat askar itu begitu banyak sehingga 'tidak terkira' dan bendera Sudan Selatan tertera pada uniform mereka.
Dari jalan utama, kelihatan kenderaan syarikat minyak yang musnah, tetapi tiada penduduk awam, hanya askar Sudan yang meronda.
Sudan belum menyatakan bilangan askarnya yang terbunuh dalam operasi untuk menguasai semula kawasan telaga minyak itu.
Semasa menduduki Heglig, tentera Sudan Selatan mendakwa 19 askarnya terkorban, manakala 240 askar Sudan maut dalam pertempuran.
Sudan bertindak balas terhadap pendudukan telaga minyaknya itu dengan melancarkan gelombang demi gelombang serangan udara ke atas wilayah Sudan Selatan, termasuk serangan terbaru hari ini ke atas bandar Bentiu menyebabkan seorang kanak-kanak maut dan beberapa penduduk awam lain cedera.
Kedua-dua pihak menuduh satu sama lain merosakkan infrastruktur minyak di Heglig, yang menyumbangkan kira-kira separuh daripada pengeluaran minyak Sudan. - AFP

No comments: