Pages

Tuesday, February 14, 2012

Teheran tuduh Azerbaijan bantu Israel bunuh saintis

TEHERAN: Kementerian Luar Iran semalam memanggil duta Azerbaijan sambil menuduh negara jirannya itu membantu perisik Israel membunuh saintis nuklearnya bulan lalu.

Mostafa Ahmadi-Roshan terbunuh apabila dua lelaki bermotosikal melekatkan bom magnet pada keretanya pada 11 Januari lalu.


Saintis berusia 32 tahun itu bekerja di loji pengayaan uranium di Natanz, tengah Iran.

Agensi berita separa rasmi, Fars memetik pejabat akhbar Kementerian Luar sebagai berkata, duta Azerbaijan, Javanshir Akhundov dipanggil kerana Azerbaijan membantu ejen yang mempunyai hubungan dengan agensi perisikan Israel.


Menurut laporan, Javanshir juga dimarahi mengenai layanan buruk terhadap pegawai Iran di Azerbaijan dan kesukaran trak republik Islam itu untuk memasuki negara terbabit.


Jurucakap Kementerian Luar Azerbaijan berkata, dia tidak boleh mengulas laporan berkenaan ketika ini.


Azerbaijan, negara sekular Islam yang bersempadan dengan Iran, mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Israel sementara berdepan dengan masalah dalam hubungan dilpomatiknya dengan Teheran.


Bulan lalu, pihak berkuasa Azerbaijan menangkap dua lelaki disyaki merancang serangan terhadap warga asing, termasuk duta Israel di Baku. Kedua-dua lelaki itu didakwa dibantu oleh perisik Iran yang membekalkan mereka dengan pistol dan bahan letupan. - AP


myMetro | Teheran tuduh Azerbaijan bantu Israel bunuh saintis:

'via Blog this'

No comments: