NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu semalam menerima satu resolusi mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Syria dan menggesa agar keganasan dihentikan.

Resolusi itu disokong oleh 137 negara dan 12 menentang manakala 17 negara mengambil pendirian berkecuali.

Inisiatif terbaru ini, yang mendapat sokongan dunia Arab, menggesa Presiden Bashar al-Assad meletakkan jawatan bagi menamatkan kebangkitan rakyat yang berlarutan hampir setahun.

Mesir memperkenalkan kandungan resolusi itu kepada Perhimpunan Agung dan menggesa agar satu keputusan sebulat suara dicapai untuk mengenakan tekanan ke atas kepimpinan Syria.

Bagaimanapun resolusi itu tidak mempunyai impak besar berbanding ketetapan-ketetapan dibuat oleh Majlis Keselamatan.

Minggu lalu, China dan Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang dibahaskan di Majlis Keselamatan.

Syria pula menegaskan langkah itu hanya akan memburukkan krisis dan menggalakkan kemunculan pengganas.

China berkata, pihaknya akan menghantar duta kanan ke Damsyik untuk merundingkan penyelesaian yang aman dan sesuai.