Pages

Friday, February 17, 2012

Bayi mati susu masuk paru-paru

KANGAR: “Sebak hati saya apabila anak dilahirkan meninggal dunia, malah lebih memilukan arwah menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” kata Nur Laila Mat Akhir, 27, selepas bayi perempuannya berusia tujuh bulan maut dipercayai akibat tersedak susu di rumah keluarganya di Simpang Empat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Siti Nur Balkis Ahmad Zahid, anak bongsu daripada dua beradik disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sejurus disedari ‘lembik’ oleh ibunya.


Nur Laila berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, anaknya tidur sebelum bangun dalam keadaan menangis kerana lapar.

Katanya, dia menyusukan bayinya menggunakan botol hingga tidur semula.


“Dia (Nur Balqis) tidak menghabiskan susu dibancuh seperti selalu, sebaliknya hanya separuh yang diminum.


“Selepas itu, arwah tertidur beberapa jam sebelum merengek jam 6.30 petang sebelum saya menjenguknya.

“Namun, ketika cuba mencuci najisnya, badannya seolah-olah tidak bermaya dan lembik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, dia yang terkejut memaklumkan kejadian itu kepada suami, Ahmad Zahid Zamri, 32, sebelum menghantar bayinya ke HTF di sini.

“Tanpa berlengah, saya membawa Nur Balkis ke hospital, namun selepas beberapa ketika dirawat, doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.


“HTF ada maklumkan kepada saya mengenai penemuan susu dalam paru-paru Nur Balkis ketika melakukan pemeriksaan. Justeru, saya percaya mungkin bayi saya tersedak,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


“Kami menerima maklumat kejadian itu termasuk laporan keluarga mangsa berhubung kematian bayi berkenaan.


“Ketika ini, kami percaya kes itu mempunyai kaitan dengan kejadian tersedak susu dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

myMetro | Bayi mati susu masuk paru-paru:

'via Blog this'

No comments: