Pages

Thursday, January 26, 2012

Speaker Palestin dipenjara tanpa bicara

BAITULMUQADDIS - Israel mengarahkan Speaker Parlimen Palestin, Aziz Dweik, dipenjara selama enam bulan tanpa dibicarakan berikutan penangkapannya berhampiran Tebing Barat di Ramallah minggu lalu atas alasan disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

Menurut peguam Dweik, perintah penahanan yang dikeluarkan semalam tidak memberi sebab terperinci terhadap pemenjaraan anak guamnya itu.

Fadi Kawasmi berkata, perintah penahanan itu menyatakan Dweik ditahan kerana terlibat di dalam serangan menentang rejim itu.

Dweik merupakan penggubal undang-undang Hamas pertama daripada empat penggubal kumpulan Islam lain yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh rejim Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, di tahan oleh pihak berkuasa Israel minggu lalu.

Selasa lalu, tentera rejim bertindak menahan penggubal undang-undang Abdel Jaber Fukaha di Ramallah, manakala Mohammed Totah serta Khaled Abu Arafah turut ditahan Isnin lalu di tempat perlindungan mereka di kawasan Palang Merah di Timur Baitulmuqaddis.

 Berikutan itu, Perdana Menteri, Salam Fayyad dalam mesyuarat Kabinet Palestin di Ramallah, mengutuk penangkapan itu dan menuntut Israel segera membebas semua penggubal undang-undang itu.

Hamas turut menggambarkan penangkapan itu sebagai satu percubaan rejim untuk menghentikan usaha damai antara Hamas dan Fatah.

No comments: