MOGADISHU 25 Jan. - Tentera pasukan khas Amerika Syarikat (AS) yang menaiki beberapa helikopter melancarkan serbuan sebelum subuh di Somalia hari ini untuk menyelamatkan dua pekerja bantuan yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata tiga bulan lalu.
Rakyat AS, Jessica Buchanan, 32, dan Poul Thisted, 60, dari Denmark bertugas untuk agensi bantuan pemusnah periuk api, Danish Demining Group (DDG) semasa mereka diculik di bandar Galkayo, wilayah separa autonomi Galmudug, tengah Somalia pada 25 Oktober lalu.
"Dua pekerja DDG dibebaskan menerusi penggunaan kekerasan, dan kami mendapat maklumat sekurang-kurangnya enam helikopter melancarkan serangan awal pagi ini," kata pegawai keselamatan Somalia, Mohamed Nur.
Nur berkata, beberapa orang lanun terbunuh dalam pertempuran sengit dengan askar Amerika, manakala tebusan yang dibebaskan diterbangkan ke Djibouti oleh penyelamat mereka.
Stesen televisyen NBC memetik pegawai AS sebagai berkata, dua pasukan SEAL tentera laut AS mendarat dengan helikopter dan menyelamatkan tebusan selepas pertempuran bersenjata dengan penculik.
Serbuan itu dilancarkan di kawasan terpencil di antara dua wilayah yang dikenali sebagai sarang lanun di tengah Somalia, Hobyo dan Adado.
"Kami memungut lapan mayat lanun dari tempat kejadian dan kami difahamkan lima lagi yang ditangkap dibawa pergi oleh askar.
"Serbuan itu berlaku sebelum subuh dan askar yang sangat profesional dipercayai terlibat kerana serangan berakhir tidak sampai sejam kemudian," kata pegawai dalam pentadbiran Adado, Abduali Moalim.
Saksi berkata, askar asing mengambil alih lapangan terbang Galkayo semasa serbuan itu manakala beberapa pesawat sokongan turut mendarat di sana.
"Saya melihat sekurang-kurangnya lima helikopter tentera terbang di ruang udara bandar ini lewat malam tadi, dan pagi ini kami mendengar berita dua tebusan Barat dibebaskan oleh tentera asing," kata saksi, Abdulahi Isa. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment