KAHERAH: Kumpulan Ansar al-Jihad di Semenanjung Sinai yang mengumumkan kewujudannya pada Disember lalu mengisytiharkan kesetiaannya kepada pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, lapor laman pemantauan berpangkalan di Amerika Syarikat SITE, semalam.
Mesej di Internet yang ditujukan kepada Ayman berkata, ‘tentera anda di Sinai yang berada di Tanah Mesir memberi ikrar ketaatan dalam keadaan baik, buruk, susah, senang dan keadaan terdesak. “Kami tidak akan menarik diri atau menyerah hingga titisan darah terakhir kerana Allah dan hingga Islam memerintah dengan bantuan Allah Yang Maha Agung,” kata kenyataan itu yang dipetik laman SITE. Pada 21 Disember lalu, SITE berkata, kumpulan baru itu berikrar akan menyerang kerajaan tentera di Kaherah dan mensasarkan AS. Menurut SITE, kumpulan itu berikrar akan ‘melakukan yang terbaik untuk memerangi rejim Mesir dan penyokongnya di kalangan Yahudi, Amerika dan mereka yang rapat’.
Kenyataan itu turut membicarakan ‘perang terhadap Islam’ dan ‘pencuri’ sumber semula jadi Mesir yang dikatakan dijual kepada Israel, sebagai merujuk kepada perjanjian gas semula jadi yang penuh kontroversi antara kedua-dua negara itu. Kenyataan itu juga menyuarakan layanan kerajaan Mesir terhadap individu yang mengebom saluran paip gas dan pembunuhan seorang suspek ketika insiden keganasan di sepanjang sempadan Mesir-Israel Ogos tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment