Pages

Thursday, January 26, 2012

Kembar enam kelahiran pertama

KABUL: Seorang wanita Afghanistan yang hamil anak sulung tidak menyangka akan melahirkan kembar enam di hospital di bandar raya Mazar-e-Sharif.

Dia mengakui tidak menyedari hamil lebih daripada seorang bayi kerana tidak pernah menerima rawatan kesuburan.

Doktor berkata, wanita itu tiba di hospital Isnin lalu dan melahirkan tiga bayi lelaki dan tiga bayi perempuan pada hari sama. Menurut doktor, melahirkan anak kembar enam tanpa rawatan kesuburan amat jarang berlaku.
Afghanistan negara yang mencatatkan kadar kematian ibu dan anak tertinggi di dunia.

Wanita yang dikenali Sharah, 24, berasal dari pedalaman wilayah Balkh.
Pengarah Kesihatan Wilayah, Mirwais Rabi, berkata semua enam bayi berkenaan sihat tetapi kurang berat badan dengan seorang daripadanya cuma seberat 700 gram.

Rabi berkata, bayi berkenaan diletakkan dalam inkubator dan diawasi sepasukan jururawat dan doktor. Sharah dalam keadaan sihat tetapi letih.
Doktor berkata, jika mereka menyedari dia hamil kembar enam, Sharah akan dimasukkan ke hospital beberapa hari lebih awal. Berita itu mendapat liputan utama di stesen televisyen dan radio Afghanistan.

“Dia berani, dia mengagumkan. Saya tidak tahu bagaimana dia membawa enam anak. Kerajaan perlu membantunya,” kata seorang penduduk. – AFP 

No comments: