Minyak
Sekatan minyak

BRUSSELS - Iran meningkatkan kata dua terhadap Barat semalam selepas negara-negara Eropah mengenakan sekatan ke atas nadi ekonominya - minyak, sekali gus diramal akan membawa kepada implikasi politik dan ekonomi dunia dalam waktu terdekat.

Ekoran tindakan Eropah itu, Teheran mengugut ia akan menutup Selat Hormuz, yang digunakan sebagai laluan satu per lima bekalan minyak dunia, manakala pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa Barat akan menggunakan kekuatannya untuk memastikan perairan itu kekal dibuka kepada laluan antarabangsa, lapor akhbar Guardian.

Keputusan sekatan minyak yang diputuskan oleh menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) secara dramatik meningkatkan ketegangan antara Iran dan Barat berhubung program nuklear kontroversi Iran, yang sudah berlarutan bertahun-tahun.

EU memutuskan bahawa tidak harus ada sebarang kontrak minyak antara anggota EU dan Iran, tetapi penyerahan bekalan dibenarkan sehingga Julai ini.

Malah, EU juga membekukan aset-aset bank pusat Iran dan mengharamkan transaksi emas, logam-logam berharga dan berlian.

Sementara sekatan ini berkuat kuasa hari ini, kesan sebenarnya dijangka hanya akan dirasai menjelang musim panas.

Pegawai kanan Iran menyifatkan perkembangan terbaru ini akan membawa kepada 'perang mulut' dengan dunia Barat.

"Sebarang bentuk gangguan berkenaan dengan penjualan minyak Iran, sudah pasti Selat Hormuz akan ditutup," demikian amaran Mohammad Kossari, timbalan ketua jawatankuasa parlimen berkenaan hal ehwal luar negara dan keselamatan negara.

Ivo Daalder, duta AS di Nato pula bertekad negaranya dan sekutu mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan laluan itu terus dibuka kepada laluan perkapalan dan bisnes minyak antarabangsa.

"Selat Hormuz perlu kekal dibuka dan kita perlu pastikan ia kekal laluan antarabangsa," katanya kepada BBC.

"Kita akan melakukan apa yang perlu dilakukan bagi memastikan ia kekal dibuka jika wujud keadaan sedemikian (ditutup)," katanya lagi.