Pages

Tuesday, January 24, 2012

Palestin minta Israel bebaskan 24 penggubal


TEL AVIV 23 Jan. - Pihak berkuasa Palestin menggesa Israel membebaskan 24 penggubal undang-undangnya termasuk Speaker Parlimen, Aziz Dweik (gambar) yang ditahan minggu lepas, lapor akhbar Jerusalem Post semalam.

Menurut akhbar tersebut, ketua perunding Palestin, Saeb Erekat telah pun menyerahkan senarai nama tahanan terlibat kepada utusan Israel, Yitzhak Molcho di ibu negara Jordan, Amman, kelmarin.

Kebanyakan penggubal undang-undang yang ditahan di penjara Israel merupakan pemimpin dari parti Hamas.

Erekat baru-baru ini menyatakan, Israel sengaja menahan Dweik sebagai cubaan menggagalkan usaha damai antara Fatah dan Hamas.

Rejim Yahudi itu enggan mendedahkan sebarang maklumat tentang rundingan mereka, pertemuan yang keempat tahun ini dengan Palestin selepas rundingan secara terus terhenti selama 15 tahun.

Satu lagi pertemuan akan berlangsung Khamis ini.

Amerika Syarikat (AS), Rusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menetapkan Khamis ini sebagai tarikh akhir bagi Palestin dan Israel untuk mengemukakan usul tentang isu keselamatan dan perkongsian sempadan.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, pihaknya mungkin dipaksa membuat keputusan sekiranya pertemuan minggu ini masih tidak mencapai perkembangan.

Dweik ditahan di pondok kawalan tentera Israel ketika beliau dalam perjalanan ke Hebron di selatan Tebing Barat pada 19 Januari lalu.

Beliau merupakan anggota kanan pergerakan Hamas yang berpangkalan di Tebing Barat, lapor agensi berita Xinhua. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: