Pages

Sunday, January 22, 2012

Saintis cuba buat buah zakar tiruan


SAN FRANCISCO: Sekumpulan saintis diberi kebenaran menghasilkan buah zakar tiruan yang menghasilkan sperma, dalam usaha membantu menyelesaikan masalah ketidaksuburan lelaki.

Saintis sebelum ini cuba menghasilkan sel sperma tetapi cuma mampu menyelesaikan tiga per empat daripada proses itu di dalam makmal kerana persekitaran khas dalam buah zakar lelaki diperlukan untuk menjayakan proses itu.
Kumpulan pakar diketuai Dr Paul Turek itu berharap dapat menghasilkan mesin biologi pembuatan sperma yang berbentuk beg silinder dan tidak dilekatkan pada tubuh.
Ia perlu diganti selepas setiap kitaran pengeluaran sperma yang mengambil masa 70 hari dan berbeza dengan alat tiruan, lelaki yang kehilangan buah zakar tidak menghasilkan sperma. 

Dr Turek kini menghasilkan prototaip dan menganggarkan ia mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk menyempurnakan kaedah itu. 

“Geran yang diperoleh adalah satu penghormatan dan diberi selepas beberapa tahun kami mengkaji idea ini. 

“Kami sudah mengumpulkan saintis hebat yang amat komited dengan kejayaan,” katanya. 
Bagi menghasilkan buah zakar tiruan itu, penyelidik perlu membangunkan teknik untuk menumbuhkan sel sperma manusia. 

Mereka bercadang menggunakan sel tunjang embrio lelaki dengan gen untuk mengemudikan ia menjadi sel reproduktif yang boleh digunakan dalam IVF. 

Ketika kajian menunjukkan ada kemungkinan dapat merawat tikus jantan tidak subur dengan menghasilkan sperma menggunakan sel tunjang, kajian ke atas manusia gagal. 

Dr Turek berkata, salah satu tujuan utama ialah menghasilkan semula buah zakar tiruan dengan semua komponennya. Bagaimanapun, sebahagian pakar skeptikal dengan kaedah itu. 

Pakar sakit puan dan sains reproduktif di Universiti Pittsburgh, Kyle Orwig, berkata: “Ia satu projek yang pastinya sukar tetapi mengagumkan jika berjaya. Ia akan memberi impak besar kepada bidang kesuburan.” 

Katanya, tiada siapa pernah mencuba menghasilkan sperma dengan mencipta semula ‘rumah pengeluaran’ sel sperma. Buah zakar bertanggungjawab menghasilkan dan menyimpan sperma. Jika rosak, ia boleh memberi kesan serius kepada kualiti sperma. – Agensi 

No comments: