Pages

Sunday, January 22, 2012

Penyerang sertai Taliban

PESHAWAR: Kumpulan Taliban Afghanistan semalam berkata, mereka menerima penyertaan seorang askar Afghanistan yang menembak mati empat tentera Perancis kelmarin.
“Emiriah Islam Afghanistan menerima kemasukan mereka yang menduduki jawatan penting. Sebahagian mereka sudahpun menamatkan misi masing-masing,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada Reuters menerusi telefon.
Seorang pegawai kumpulan berkenaan berkata, kejadian seperti video yang menunjukkan anggota Marin Amerika Syarikat kencing pada mayat anggota kumpulan itu meningkatkan lagi sokongan kepada Taliban dan mendorong mereka untuk melancarkan lebih banyak serangan.

Sementara itu, Perancis berkata, ia masih komited untuk mewujudkan kestabilan di Afghanistan.


Menteri Pertahanan, Gerard Longuet berkata demikian kepada wartawan selepas tiba di Kabul untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Hamid Kar- zai.

Beliau memberitahu perkara itu selepas Paris mengancam untuk mempercepatkan pengunduran tenteranya berikutan kematian empat anggotanya itu.

“Misi itu kekal seperti dulu, untuk mewujudkan kestabilan di Afghanistan,” kata Longuet.

Ditanya mengenai kemungkinan pengunduran lebih awal tentera negaranya selepas terbabit dalam konflik dengan Taliban sejak 10 tahun lalu, Longuet berkata:
“Saya akan berbincang dengan presiden. Dia ketua saya.”

Longuet turut melawat beberapa tentera Perancis yang cedera parah dalam serangan kelmarin oleh seorang askar Afghanistan sebelum mereka dihantar pulang ke Paris.

Ini kali kedua dalam masa tidak sampai sebulan tentera Perancis menjadi sasaran tentera Afghanistan.

Terdahulu, Presiden Nicolas Sarkozy mengancam untuk mengundurkan tentera Perancis lebih awal dari negara itu.

Sembilan belas tentera Perancis mati atau cedera apabila seorang askar Afghanistan melepaskan tembakan sejurus selepas mereka menamatkan latihan di sebuah pangkalan tentera di Kapisa, timur Afghanistan.

Sarkozy serta-merta menggantung latihan tentera Perancis dan operasi ketenteraan dengan tentera Afghanistan. - AP

No comments: