Kim Schmitz atau Kim Dotcom |
WELLINGTON: Polis New Zealand menyerbu beberapa rumah dan perniagaan dikaitkan dengan pengasas Megaupload.com, sebuah laman perkongsian fail internet yang ditutup pihak berkuasa Amerika Syarikat kelmarin dan merampas senapang, jutaan dollar dan hampir AS$5 juta (RM15.53 juta) dalam bentuk kereta mewah.
Polis menahan pengasasnya, Kim Dotcom dan tiga kakitangan Megaupload atas tuduhan bahawa mereka menyediakan jutaan kemudahan muat turun filem, muzik dan kandungan lain menyebabkan pemegang hak cipta kerugian pendapatan sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM1.55 bilion). Prosiding ekstradisi ke atas mereka mungkin berlangsung setahun atau lebih.
Polis New Zealand menyerahkan 10 waran menggeledah ke atas beberapa perniagaan dan rumah di sekitar bandar di Auckland.
Jurucakap polis Grant Ogilvie berkata kereta yang dirampas termasuk sebuah Rolls Royce Phantom Drophead Coupe bernilai lebih AS$400,000 (RM1.24 bilion) selain beberapa Mercedes. Dua senapang dan sejumlah hasil seni bernilai turut dirampas, beliau menambah.
Katanya, polis merampas lebih AS$8 juta (RM24.84 juta) wang yang dilabur dalam pelbagai institusi kewangan New Zealand dan kini diletakkan dalam satu tabung amanah sementara menunggu hasil kes.
Media Fairfax New Zealand melaporkan empat defendan hadir bersama dalam bilik mahkamah di Auckland dalam langkah pertama prosiding ekstradisi.
Peguam Dotcom menyuarakan bantahan terhadap permintaan media mengambil gambar dan video, namun Dotcom kemudian bercakap dari kandang mengatakan dia tidak kisah diambil gambar atau video ‘kerana tiada apa untuk disembunyikan.’
Hakim memberi capaian kepada media dan memutuskan empat lelaki terbabit direman sehingga perbicaraan kedua Isnin.
Dotcom, bekas ketua eksekutif Megaupload dan ketua pegawai inovasi terkini, adalah penduduk Hong Kong dan New Zealand dan mempunyai dua kewarganegaraan Finland dan Jerman yang mempunyai nama yang diubah dari segi undang-undang.
Tertuduh berusia 37 tahun itu sebelum itu dikenali sebagai Kim Schmitz dan Kim Tim Jim Vestor.
Dua lagi warga Jerman dan seorang warga Belanda turut ditahan dan tiga lagi defendan, seorang warga Jerman, Slovakia dan Estonia, masih bebas.
Megaupload mengekalkan peguam Washington Bob Bennett untuk membela mereka, menurut seorang individu syarikat.
Bennett terkenal kerana mewakili bekas Presiden Bill Clinton dalam skandal Monica Lewinsky. –AP
No comments:
Post a Comment