NEW YORK 20 Jan. - Jenayah keganasan seks yang dilakukan oleh anggota-anggota tentera Amerika Syarikat (AS) meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas dan ia dikaitkan dengan trauma perang.
Menurut laporan tentera AS semalam, jenayah seks meningkat sehingga 90 peratus dalam tempoh lima tahun dari 2006 hingga 2011.
Terdapat 2,811 kes jenayah keganasan dan separuh daripadanya melibatkan keganasan seks yang kebanyakannya berlaku di AS.
Setiap seorang anggota tentera akan melakukan jenayah seks dalam masa setiap enam jam dan 40 minit pada 2011, sekali gus menyumbang kepada punca utama jenayah keganasan.
Laporan tersebut turut menyatakan masalah disiplin, latihan ketenteraan yang berat, tahap tekanan yang tinggi dan masalah kesihatan merupakan antara punca-punca berlakunya jenayah seks.
Perlakuan jenayah keganasan seks di kalangan anggota tentera AS bertambah pada tahap yang seragam dan ia dijangka semakin meningkat.
Lima kesalahan jenayah seks yang paling kerap dilakukan anggota-anggota tentera pada tahun lepas termasuk rogol, serangan seksual yang serius, liwat secara paksa dan menyimpan bahan lucah membabitkan kanak-kanak.
Menurut laporan itu lagi, anggota-anggota tentera yang menghidap Masalah Gangguan Post-Traumatik (PTSD), kecederaan otak akibat trauma dan tekanan jiwa menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk melakukan jenayah seks terhadap pasangan.
Anggota tentera yang menghidapi PTSD dilihat tiga kali ganda lebih cenderung untuk melakukan keganasan terhadap pasangan perempuan berbanding yang tidak mempunyai trauma, jelas laporan tersebut. - REUTERS
No comments:
Post a Comment