Pages

Saturday, January 21, 2012

Speaker Kansas harap Presiden Obama pendek umur


pix_gal0

WASHINGTON: Seorang pemimpin Republikan di Kansas mencetuskan kemarahan selepas menghantar e-mel menyatakan harapan supaya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pendek umur.

Pengkritik berkata, e-mel Speaker Dewan Undangan Negeri Kansas, Mike O’Neal itu yang menggunakan petikan kitab Bible menyarankan kematian Obama.
Selepas e-mel itu disiarkan oleh akhbar Lawrence Journal-World, O’Neal meminta maaf tetapi turut enggan meletak jawatan.
“E-mel itu menggunakan satu petikan Bible dan hanya bertujuan merujuk kepada baki tempoh pentadbiran presiden. Saya sudah minta maaf dan saya benar-benar kesal,” kata O’Neal. 

E-mel itu dihantar kepada rakan dan kenalan O’Neal merujuk kepada ayat Psalm 109:8 yang bagi sesetengah pihak bermaksud: 

“Biar hari-harinya semakin singkat dan orang lain menggantikannya.” Ia diikuti dengan petikan bermaksud: “Moga anak-anaknya menjadi yatim piatu dan isterinya menjadi balu.” 

Dua paderi kemudian menyerahkan petisyen ditandatangani 30,000 orang menuntut O’Neal meletak jawatan. Speaker Kansas itu kemudian meminta maaf tetapi pengarah komunikasinya berkata, beliau tidak akan meletak jawatan. 
“Beliau menggunakan ayat Bible dengan begitu mudah untuk menyuruh orang lain berdoa kematian presiden,” kata Michael Sherrard, jurucakap Faithful America, sebuah forum online di Washington yang menganjurkan petisyen berkenaan. 

Kontroversi membabitkan O’Neal itu menyusuli satu lagi e-mal awal bulan ini kepada anggota Republikan lain dengan memanggil isteri Obama, Michelle, sebagai ‘Puan YoMama.’ 

E-mel itu yang mulanya dilaporkan oleh Lawrence Journal-World, berbunyi: “Saya yakin anda akan menyertai saya mengucapkan Puan YoMama gembira dengan percutian Krismas di Hawaii menggunakan wang awam.” 

Jurucakap O’Neal mengesahkan mesej e-mel itu dan berkata ia dihantar daripada akaun peribadi emel pemimpin itu kepada beberapa anggota dewan undangan negeri. – Reuters/Agensi 

No comments: