PENUNJUK perasaan berkumpul ketika protes menentang Presiden Bashar al-Assad di Homs, Hula, semalam. (Gambar kecil) Paulo Pinheiro.
DAMSYIK: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh anggota keselamatan Syria melakukan jenayah kemanusiaan termasuk membunuh dan menyeksa kanak-kanak yang terbabit dalam protes antikerajaan manakala Damsyik mengecam sekatan Liga Arab ke atasnya.
Tuduhan itu dibuat meskipun Menteri Luar Syria, Walid Muallem menunjukkan kepada wartawan di sini satu video mengerikan, disifatkan beliau sebagai satu ‘kubur yang menempatkan ramai anggota pasukan keselamatan syahid’.Di Geneva, PBB menuduh kerajaan Syria menggunakan kekerasan ke atas penentang. Penyiasat Suruhanjaya Siasatan Bebas mengenai Syria menganggap pegawai kerajaan bertanggungjawab atas kes bunuh, rogol dan penyeksaan terhadap penunjuk perasaan sejak Mac lalu.
Mereka menyalahkan arahan pegawai kanan Presiden Bashar al-Assad. Panel berkenaan menemubual 223 mangsa dan saksi termasuk pembelot daripada pasukan keselamatan.
Mereka berkata, kerajaan pimpinan Bashar memerintahkan penunjuk perasaan ditembak mati selain mendera kanak-kanak hingga mati.
“Suruhanjaya percaya bahawa arahan untuk menembak dan mendera penduduk awam adalah dasar dan arahan peringkat tertinggi pasukan bersenjata dan pemerintah,” kata panel terbabit dalam laporannya.
Pengerusinya, Paulo Pinheiro memberitahu pemberita: “Askar dan anggota keselamatan Syria melakukan jenayah kemanusiaan apabila menggunakan kekerasan terhadap ramai penduduk awam yang membantah secara aman.”
Sementara itu, Damsyik mengkritik Liga Arab kerana tidak mengambil kira tindakan pengganas di wilayah Syria apabila membuat keputusan mengenakan sekatan.
“Sekatan Arab adalah satu perisytiharan perang ekonomi terhadap Syria,” kata Muallem ketika menunjukkan video berkenaan.
“Saya minta maaf atas imej buruk ini tetapi pada masa yang sama menawarkannya kepada anggota jawatankuasa menteri Liga Arab yang masih enggan menerma kehadiran pengganas ini.
“Negara Arab tidak mahu mengakui kehadiran kumpulan pengganas bersenjata yang melakukan jenayah ini di Syria termasuk menculik dan menyerang tempat awam,” katanya.
Muallem meminta untuk berdialog bagi membawa keamanan serta bersedia untuk menerima Russia, sekutu tradisinya, sebagai orang tengah. – AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment