OSLO, Norway - Pihak pendakwa raya menyatakan penilaian psikiatri terhadap seorang pembunuh kejam, Anders Behring Breivik mendapati dia kurang siuman semasa membunuh 77 orang dalam kejadian tembakan dan serangan bom di Norway pada 22 Julai lalu.
Breivik mengaku melakukan pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Laporan oleh dua ahli psikiatri forensik terbabit akan membantu memutuskan sama ada dia akan dihantar ke penjara atau diletakkan di bawah jagaan hospital mental.
Pendakwa raya Svein Holden berkata, laporan menunjukkan Breivik berada dalam keadaan psikosis semasa melakukan serangan tersebut.
Jika penilaian itu diterima oleh mahkamah, dia tidak boleh dipenjarakan ekoran perbuatannya.
Di Norway, pembelaan tak siuman memerlukan seorang defendan disahkan berada dalam keadaan psikosis semasa melakukan jenayah yang didakwa.
Terma tersebut bermakna defendan hilang segala pertimbangan sehingga dia tidak berupaya mengawal tindakannya.
Laporan setebal 243 muka surat itu akan disemak oleh panel Lembaga Perubatan Forensik Norway.
Panel tersebut boleh meminta agar maklumat tambahan disertakan dalam laporan tersebut atau menambah penilaian mereka mengenainya.
Pembunuhan beramai-ramai pada 22 Julai lalu merupakan serangan yang paling dahsyat di Norway sejak Perang Dunia Kedua sekali gus mengejutkan penduduk negara berkenaan.
Breivik pada mulanya meletupkan sebuah bom kereta di luar pejabat kerajaan di sini yang membunuh lapan orang.
Dia kemudian pergi ke Pulau Utoeya, sekitar 40 kilometer ke barat laut kota metropolitan ini dengan menyamar sebagai anggota polis dan membunuh 69 lagi mangsa dengan kebanyakan mereka ialah remaja.
- Agensi
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment