Pages

Wednesday, November 30, 2011

Rakyat Iran serbu Kedutaan British di Teheran, bakar bendera



KAWASAN bangunan Kedutaan British di Teheran, semalam dipenuhi rakyat Iran yang menunjuk perasaan membantah sekatan kuasa Barat termasuk Britain. - AFP


TEHERAN 29 Nov. - Kira-kira 20 orang penunjuk perasaan rakyat Iran hari ini menceroboh Kedutaan Britain di Teheran, menggeledah pejabat-pejabat dan turut membakar bendera Union Jack.

Mereka juga dilihat di kaca televisyen tempatan membaling batu ke arah tingkap kedutaan itu, memecahkannya dan ada yang dilihat memanjat tembok bersama lukisan potret Ratu Elizabeth II yang dirampas.

Barisan polis Iran hanya berdiri saja tanpa melakukan apa-apa ketika pencerobohan itu berlaku.

Di luar tembok kedutaan itu, beratus-ratus penunjuk perasaan lain dilihat berkumpul, ada di antara mereka yang berteriak berulang-ulang "kematian untuk Britain" dan meminta duta Britain meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Tunjuk perasaan itu berlangsung sehari selepas Iran meluluskan undang-undang menyingkirkan duta itu dalam tempoh dua minggu sebagai tindakan balas terhadap sekatan baru oleh Britain yang menamatkan segala perjanjian dengan sektor kewangan Iran.

Britain mengugut untuk bertindak tegas jika Kementerian Luar Negara Iran mengusir duta mereka, Dominick Chilcott yang baru saja memegang jawatan tersebut bulan lalu.

Semasa sesi Parlimen di Teheran pada Ahad lalu, seorang penggubal undang-undang memberi amaran rakyat Iran yang marah terhadap sekatan itu berkemungkinan akan menyerbu Kedutaan British seperti yang pernah dilakukan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat pada 1979.

Sejak itu, kerajaan AS tidak membuka pejabat perwakilan setelah kejadian 1979 itu menyaksikan 52 diplomat ditawan sebagai tebusan selama 444 hari.

Iran telah berulang-kali menafikan program nuklearnya memiliki tujuan ketenteraan dan menyifatkan laporan oleh pemantau nuklear PBB mengatakan Iran membina bom atom sebagai tidak berasas.

Iran sudah pun dikenakan empat bentuk sekatan oleh PBB yang direka untuk menekannya agar menghentikan kegiatan mengayakan uranium, selain sekatan unilateral oleh kuasa-kuasa Barat. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: