Pages

Saturday, August 13, 2011

4 juta Muslim di Jerman tabah laksana ibadah puasa




Masyarakat Turki di Jerman mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai di bandar Witten, Jerman, baru-baru ini. - AGENSI


BERLIN 12 Ogos - Seramai empat juta penduduk Islam di Jerman menjalani ibadah puasa di bulan suci Ramadan, dari terbit matahari sehingga terbenam matahari serta memberi tumpuan kepada Tuhan dan melaksanakan perkara yang baik, sama seperti saudara seagama yang lain di seluruh dunia.
Lebih daripada separuh penduduk Islam yang tinggal di Jerman berasal dari Turki dan selebihnya datang dari negara-negara Arab atau Afrika, tetapi terdapat juga beribu-ribu rakyat Jerman yang memeluk agama Islam.
Kebebasan beragama dijamin di bawah Perlembagaan Jerman, tetapi ramai umat Islam di sini berasa sukar untuk menyambut Ramadan di Jerman seperti di negara Islam.
Nehru Abdul-Mohsen, yang tinggal di Nuremberg selama 25 tahun, berkata 'jadual harian di Jerman tidak bersesuaian dengan Ramadan dan menyukarkan untuk berpuasa'.
Dia yang berasal dari Iraq menyatakan waktu bekerja di dunia Arab adalah singkat dan sesuai dengan bulan Ramadan, manakala waktu perniagaan di Jerman tidak berubah dan ia menjadi sukar lebih-lebih lagi 'apabila perlu bangun seawal pukul 4 pagi untuk bersahur'.
Ahmad Haitam, 33, seorang rakyat Palestin yang berkahwin dengan wanita Jerman, berkata, dia merindui keluarganya, makanan tradisional yang disediakan pada bulan Ramadan dan suasana persekitaran tanah airnya.
Namun, mungkin cabaran terbesarnya ialah berpuasa di kalangan masyarakat Jerman yang menikmati makanan dan minuman mereka.
"Berpuasa di Berlin berbeza buat saya jika dibandingkan di negara asal. Walaupun saya dan isteri berpuasa sepanjang bulan ini, namun persediaan khas dan makanan serta adat yang sering dilakukan di negara Islam lain, tiada di sini," katanya.
Tahra, 66, seorang nenek berketurunan Pakistan, teringin merasai semula persekitaran Ramadan, yang mana dia boleh mendengar seruan azan dan melihat lebih banyak masjid.
Ia memandangkan Jerman hanya mempunyai 40 buah masjid sahaja, namun masjid baru sentiasa dibina, dan di sepanjang Ramadan, umat Islam memenuhi masjid-masjid terutamanya selepas waktu Maghrib untuk berkumpul membaca Al-Quran, bersolat terawih dan bergaul.-utusan

No comments: