Pages

Saturday, August 13, 2011

Pasangan lakukan persetubuhan haram disebat

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sepasang kekasih yang disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah masing-masing disebat sebanyak enam kali di Penjara Kajang dekat sini hari ini.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tanpa menyebut nama kedua-dua pesalah terbabit, pelaksanaan hukuman itu dilakukan secara berasingan di dua lokasi berbeza pada sebelah pagi.
Ia disaksikan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor, Abd. Shukor Abdul Hamid, dua pegawai tinggi Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, penasihat undang-undang (Syariah) Selangor dan 12 pegawai pendakwa syarie.
Bagaimanapun, hanya pegawai lelaki yang menyaksikan hukuman terhadap pesalah lelaki dan hanya pegawai wanita yang dibenar menyaksikan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah wanita.
Sebelum hukuman dijalankan, pegawai penjara sempat menjelaskan secara ringkas prosedur mengikut tatacara undang-undang mengenai saiz rotan bergaris pusat 1.25 sentimeter sepanjang 1.22 meter yang digunakan.
Pasangan itu juga terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan beragama Islam sebelum disebat oleh pegawai sebat rotan yang juga beragama Islam.
Semasa hukuman tersebut dilakukan, pegawai terlatih itu tidak mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan ia dilakukan secara sederhana serta tidak melukakan kulit.
Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk serta berpakaian menutup aurat dengan hanya bahagian belakang badan yang dikenakan pukulan.
Sepanjang pelaksanaan hukuman itu, tiada sebarang masalah timbul memandangkan pihak penjara mempunyai kemudahan serta kepakaran yang terdiri daripada pegawai sebat rotan terlatih.
Pelaksanaan hukuman itu juga dilakukan mengikut syariah dan undang-undang serta jelas mampu memberi pengajaran dan keinsafan kepada kedua-dua pesalah.
Pasangan yang disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 25(1) dan (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Jun lalu kini sedang menjalani hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan yang sama.-utusan

No comments: