Pages

Wednesday, July 27, 2011

Misrata kekurangan bekalan minyak



Asap tebal menyelubungi sekitar depot simpanan minyak setelah terbakar akibat dibedil roket tentera kerajaan Libya di Misrata, kelmarin. - REUTERS


MISRATA 26 Julai - Bandar Misrata yang menjadi medan pertempuran mengalami kekurangan bekalan minyak, semalam berikutan kebakaran di depot simpanan minyak yang dibedil roket tentera kerajaan Libya.

Selepas serangan kelmarin, asap tebal berwarna hitam masih kelihatan di kebanyakan kawasan bandar, sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk awam.

Kebanyakan stesen minyak mula ditutup menyebabkan pemandu terpaksa beratur panjang di beberapa stesen minyak yang masih buka.

Namun, keutamaan diberi kepada kenderaan yang digunakan oleh pemberontak di barisan hadapan dan kenderaan perkhidmatan kecemasan.

Bandar tersebut yang dihuni setengah juta penduduk terputus hubungan darat dengan kawasan timur sejak berbulan-bulan lalu tetapi mereka mendapat bekalan makanan dan minyak melalui bot.

Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi masih berada dalam kedudukan julat roket di pelabuhan Mediterranean sejauh antara 30 kilometer hingga 40 kilometer dan terus menjadi sasaran bedilan, tetapi kebanyakan senjata mengalami kerosakan.

Menurut seorang pegawai, depot minyak lain masih dalam keadaan baik tetapi tidak boleh dimasuki berikutan api masih marak.

Kebanyakan depot minyak Libya berada dalam kawasan pemberontakan di timur dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang membantu menguatkuasa sekatan import di kawasan pro-Ghaddafi. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: