PORTO CERVO, Sardinia - Pengarah filem terkenal, Steven Spielberg didenda 172 euro (RM737.47) oleh pihak berkuasa pengawal pantai Itali selepas bot laju miliknya berada terlalu dekat dengan pantai, lapor sebuah akhbar semalam.
Speilberg yang merupakan seorang bilionair didenda kerana dia mengganggu orang ramai yang bercuti di tepi pantai baru-baru ini.
Pengarah filem yang berusia 64 tahun itu membuat bising sehingga mengganggu ketenangan para pelancong di tepi pantai di La Maddalena.
Para pelancong yang berjemur di tepi pantai itu kemudian bertindak menghubungi polis dan pengawal pantai kerana bunyi bising dari bot laju Spielberg.
Pengarah filem itu didenda kerana bot lajunya itu melanggar peraturan maritim.
Ketika kejadian, Spielberg membawa seorang aktres, Gwyneth Paltrow bersiar-siar dengan bot lajunya.
Bot laju itu bergerak dari sebuah kapal persendirian mewah milik pengarah filem tersebut yang berharga AS$359.58 juta (RM1.06 bilion).
Spielberg yang pernah mengarahkan filem Jaws dan Saving Private Ryan dikatakan meminta maaf kepada anggota-anggota pihak berkuasa pengawal pantai.
"Saya meminta maaf. Saya Steven Spielberg. Saya tidak mengetahui peraturan," kata pengarah filem itu.
Menurut seorang anggota pengawal pantai, Vincenzo Petrella, Spielberg menawarkan untuk membayar denda itu kepadanya.
Namun, katanya, dia memberitahu pengarah filem itu bahawa wang tersebut perlu dibayar di sebuah pejabat pos.- Agensi
No comments:
Post a Comment