Pages

Thursday, June 23, 2011

‘Saya tiada akaun bank rahsia’

KUCHING 22 Jun – Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menafikan tuduhan bahawa beliau mempunyai satu akaun bank rahsia, aset dan pelaburan di Switzerland.

Abdul Taib mengeluarkan kenyataan peribadi tersebut selepas sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Bangunan Baru Kompleks DUN Sarawak, di Petra Jaya, di sini, pagi ini.

“Ingin saya nyatakan dengan tegas di sini bahawa saya tidak mempunyai akaun rahsia di bank Switzerland mahupun aset-aset atau sebarang jenis pelaburan. Tidak ada apa-apa.

“Sesungguhnya, saya telah menyatakan dengan istilah yang jelas dalam sepucuk surat yang dikemukakan kepada Presiden Persekutuan Switzerland (Micheline Calmy-Rey) pada bulan lalu,” katanya.

Dalam surat berkenaan, Abdul Taib telah meminta secara spesifik supaya Micheline mengesahkan sama ada beliau mengarahkan sebarang siasatan berhubung segala dakwaan oleh Bruno Manser Foundation (BMF) itu kepada Lembaga Pengawasan Pasaran Kewangan Switzerland (Finma) atau menyediakan kepadanya satu salinan permohonan.

Katanya, ia bagi membolehkan beliau mempertahankan haknya bagi mendapatkan kebenaran serta penyelesaian dari sudut undang-undang.

“Saya juga berikrar untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Persekutuan Switzerland bagi mempercepatkan proses memperoleh kebenaran sekali gus menolak semua pembohongan yang berniat jahat ini.

“Biar saya ulangi dengan tegasnya di sini bahawa tuduhan-tuduhan oleh BMF adalah palsu serta nyata sekali bermotifkan politik,” ujarnya.

Abdul Taib menjelaskan, BMF mempunyai rekod melakukan tuduhan serta kecaman melampau mengenai kerajaan negeri ini sejak sekian lama.

Tuduhan berkenaan tegas beliau termasuk dakwaan penebangan hutan hujan sehingga 90 peratus sedangkan pakar perhutanan tempatan dan antarabangsa mengesahkan bahawa 70 peratus hutan Sarawak diuruskan secara mapan.

“Justeru itu, ia adalah sesuatu yang sesuai dan betul untuk saya membuat kenyataan peribadi di Dewan ini bersesuaian dengan Arahan Tetap 22 berhubung tuduhan-tuduhan oleh BMF atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang sama sekali tidak bertanggungjawab kepada rakyat di Sarawak,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat Abdul Taib atas dakwaan rasuah balak.

Pengesahan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan seperti Agensi Anti-Rasuah Switzerland yang membekukan aset Abdul Taib atas dakwaan itu.

Menurut laporan berita asing, Micheline berkata, bahawa beliau menyedari dakwaan itu dan mengemukakan maklumat mengenai aset Abdul Taib di negaranya kepada badan kawalan, Finma untuk tujuan siasatan.

Utusan Malaysia Online - Parlimen

No comments: