Pages

Thursday, June 23, 2011

Kekasih maya Afrika perdaya wanita RM3,200

GEORGETOWN: Akibat terpedaya dengan janji manis seorang warga asing yang dikenali menerusi laman sosial sehingga menjalin cinta dengannya sejak April lalu, seorang suri rumah berusia 46 tahun dari Bayan Lepas di sini, kerugian RM3,200.

Mangsa yang 'gelap mata' apabila lelaki itu yang berjanji akan memberikannya 850,000 pound sterling bagi perbelanjaan perkahwinan mereka, sanggup memasukkan wangnya ke akaun bank milik seorang lelaki rakyat tempatan.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata wanita itu mula berkenalan lelaki Afrika dari United Kingdom sejak April lalu menerusi laman sosial Facebook.
Sepanjang perhubungan secara maya itu, suspek dikatakan ikhlas dan jujur sebelum menyatakan kesediaannya untuk menjadikan wanita berkenaan sebagai isteri.

Lelaki itu berjanji memberikan segala-gala kemewahan kepada wanita berkenaan termasuk akan memasukkan sebanyak 850,000 pound sterling ke dalam akaun mangsa bagi membeli rumah, kereta dan urusan perkahwinan mereka.

Lelaki terbabit menghubungi mangsa untuk menyatakan dia dalam perjalanan ke Malaysia.

Bagi mengaburi mata mangsa, lelaki itu menyuruh mangsa mencetak slip gajinya yang diemelkan untuk digunakan sebagai dokumen apabila membuat pengeluaran yang bakal dihantar.
Beberapa hari selepas itu, lelaki terbabit menghubungi wanita berkenaan dengan meminta memasukkan wang sebanyak RM2,500 ke satu akaun milik rakyat tempatan untuk proses pengeluaran wang yang akan dihantar kepada mangsa.

Wanita itu yang tidak menyedari dia ditipu, memasukkan wang berkenaan ke nombor akaun diberi, diikuti RM700 lagi beberapa hari kemudian.

Mangsa terkejut apabila menyemak akaunnya dan mendapati tiada wang 850,000 pound sterling seperti dijanjikan.

"Selepas mengesyaki ditipu, mangsa membuat laporan polis, Jumaat lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti pihak terbabit,” katanya.

Roslee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi sindiket warga asing dipercayai Nigeria dengan menggunakan akaun warga tempatan.
Berita Harian Online | Kekasih maya Afrika perdaya wanita RM3,200

No comments: