BEIJING 22 Jun – China hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya membiarkan pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan sendiri oleh negara-negara yang mempunyai tuntutan.
Dalam amaran paling berterus-terang kepada Washington, Beijing berkata, pembabitan AS dalam pertikaian itu boleh memburukkan lagi keadaan.
Ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak sebulan lalu disebabkan kebimbangan bahawa China semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.
Timbalan Menteri Luar China, Cui Tiankai berkata, AS tidak perlu campur tangan dalam pertikaian itu dan sekiranya AS tetap mahu memainkan peranan, Washington perlu menasihatkan negara-negara yang melakukan provokasi supaya bertindak secara lebih bertanggungjawab.
“AS bukan negara yang mempunyai tuntutan dalam pertikaian di Laut China Selatan, dengan itu adalah lebih baik jika AS membiarkan pertikaian diselesaikan antara negara-negara yang menuntut,” kata Tiankai hari ini pada taklimat sebelum rundingan pusingan pertama mengenai hal-ehwal Asia Pasifik di Hawaii pada Sabtu ini.
Katanya, China sangat bimbang dengan provokasi yang kerap dilakukan oleh negara lain di Laut China Selatan.
“Saya percaya negara-negara terlibat sebenarnya bermain api dan saya berharap api itu tidak akan merebak ke AS,” menurut menteri itu.
Sementara itu di Manila, pegawai Filipina berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) berkewajipan membantu mempertahankan askar, kapal atau pesawat udara negara ini jika mereka diserang di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.
Jabatan Luar Filipina dalam satu kertas dasarnya berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 menghendaki Washington membantu tentera Filipina jika mereka diserang di kepulauan tersebut.
Sebahagian perairan di Laut China Selatan turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Tuntutan China adalah yang paling besar, dengan kawasan perairan yang dituntut berbentuk U meliputi sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang seluas 1.7 juta kilometer persegi, termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.
Di Washington kelmarin, anggota kanan Parti Republikan, Senator John McCain menggesa kerajaan AS meningkatkan sokongan ketenteraan dan politik kepada negara anggota ASEAN untuk menghadapi China dalam pertikaian semakin meningkat di Laut China Selatan.
Menurutnya, AS perlu membantu anggota ASEAN untuk membangunkan dan menempatkan sistem amaran awal serta bot peronda perairan pantai di kawasan yang menimbulkan pertikaian.
– Reuters/AFP
No comments:
Post a Comment