Pages

Thursday, June 23, 2011

Itali kritik misi di Libya

ROME: Itali semalam menggesa serangan ke atas Libya digantung, sekali gus menggambarkan perbezaan pendapat di kalangan Nato berhubung krisis di negara itu ketika jumlah kematian orang awam terus meningkat.

Dalam keadaan Muammar Gaddafi tidak menunjukkan sebarang tanda mahu berundur, Menteri Luar Itali, Franco Frattini, berkata penangguhan perlu untuk memberi ruang bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam.


“Kita melihat kesan krisis setakat ini, selain tindakan Nato tidak hanya terhad di kawasan timur dan barat daya Libya, sebaliknya turut membabitkan Tripoli,” katanya dalam mesyuarat jawatankuasa Parlimen, semalam.

Justeru, kata Frattini, serangan itu wajar digantung dan pada masa sama, rundingan lebih rasmi diteruskan bagi mencari penyelesaian.


“Saya berpendapat, ini aspek paling mendesak dan penting,” katanya.


Menurut Frattini, Itali juga berhak meminta diberikan maklumat lebih terperinci mengenai hasil serangan udara yang dijalankan Nato setakat ini.

Dalam keterangannya semalam, Frattini juga mengecam kesilapan dilakukan tentera Nato sehingga serangan disasarkan kepada tentera turut menyebabkan orang awam terbunuh.

“Menyerang orang awam bukanlah objektif misi Nato,” katanya.

Sementara itu, Perancis - kini mengetuai misi berkenaan - segera menolak kemungkinan menghentikan sementara operasi ke atas Libya.


Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero, berkata anggota Nato yang bertemu di Abu Dhabi dua minggu lalu bersepakat meningkatkan tekanan kepada Gaddafi.


“Sebarang penangguhan operasi memberi ruang kepada Gaddafi bertangguh dan menyusun semula rejimnya sehingga membawa penderitaan kepada orang awam,” katanya. - AFP

myMetro | Itali kritik misi di Libya

No comments: