Pages

Wednesday, June 22, 2011

Pegawai SPRM dilibas parang



LOWRANCE kini menerima rawatan di Hospital Serdang.
LOWRANCE kini menerima rawatan di Hospital Serdang.

6 lelaki didakwa serang tanpa motif

PUTRAJAYA: Seorang pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cedera di tangan kiri selepas diserang enam lelaki, sebahagiannya dipercayai bersenjatakan parang di depan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, Serdang, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa dikenali Moses Lowrance, 36, menutup pintu pagar rumahnya untuk pergi menghantar anaknya ke sekolah sebelum ke tempat kerjanya di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa didatangi kira-kira enam lelaki sebahagiannya dipercayai bersenjata parang menaiki sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ.
Lelaki terbabit dikatakan melibas mangsa dengan parang sehingga menyebabkan tangan kirinya cedera.

Kumpulan itu melarikan diri apabila melihat ramai jiran keluar melihat kejadian selepas mangsa membunyikan hon keretanya.

Mangsa dikejar ke Hospital Serdang oleh orang ramai yang melihat kejadian itu. Keadaannya stabil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika ditemui di Hospital Serdang, berkata pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis.
“Kita tidak boleh membuat andaian kerana tidak tahu motif kejadian. Pegawai SPRM berkenaan pun tidak tahu apa motif sebenar dia diserang. Polis sudah mengambil keterangannya sebentar tadi (semalam),” katanya.

Difahamkan, SPRM juga turut menjalankan siasatan dalaman dan akan merakam keterangan Moses untuk mengetahui motif sebenar serangan.

Berita Harian juga difahamkan, sehingga ini polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai samun tetapi tidak ada barang peribadi mangsa dilarikan ketika kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Berita Harian Online | Pegawai SPRM dilibas parang

No comments: