KARACHI 23 Mei - Militan Taliban yang menggunakan senjata api, roket dan bahan letupan menyerang pangkalan tentera udara Pakistan di pusat bandar Karachi semalam, menyebabkan dua pesawat pemantau buatan Amerika Syarikat (AS) musnah dan 12 anggota tentera terbunuh.
Menurut pegawai, serangan yang berlaku tiga minggu selepas tentera elit AS membunuh Osama bin Laden itu berterusan selama 16 jam.
Ia dikatakan tercetus lewat semalam selepas 15 militan menyusup ke kawasan itu pada waktu malam.
Kira-kira 10 orang turut cedera dan anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran yang tercetus di pangkalan PNS Mehran itu, ibu pejabat Tentera Udara Pakistan di bandar pelabuhan Karachi.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik berkata, pengganas menyerang pangkalan itu dari tiga kawasan kediaman di bandar yang diduduki 16 juta orang itu, laluan utama untuk menyalurkan bekalan kepada tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan.
"Satu bangunan perniagaan yang digunakan oleh militan untuk melepaskan tembakan masih dikuasai mereka.
"Situasi kini semakin terkawal secara beransur-ansur untuk memastikan keselamatan aset, mengurangkan kematian dan mematahkan serangan militan sepenuhnya," katanya kepada wartawan hari ini.
Rehman berkata, serangan itu bukanlah dilancarkan ke atas tentera, tetapi ke atas Pakistan dan menggesa mereka yang sebelum ini bersimpati kepada Taliban dan al-Qaeda supaya 'menyertai mereka menyelamatkan negara ini'.
Taliban Pakistan yang meningkatkan serangan sejak kematian Osama pada 2 Mei lalu mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
"Kami sebelum ini telah memberi amaran bahawa selepas kematian syahid Osama, serangan besar-besaran akan dilancarkan," kata jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan melalui panggilan telefon.
Menurut jurucakap tentera, Komander Salman Ali, empat anggota tentera dan seorang separa tentera terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan militan yang dianggarkan berjumlah 10 hingga 15 orang. - AFP
No comments:
Post a Comment