Pages

Sunday, April 24, 2011

Tipu hamil kerana projek sekolah



GABY RODRIGUEZ membuang bantal pada perutnya selepas berpura-pura hamil selama enam bulan.


YAKIMA, Washington - Setelah mengharungi kehidupan sebagai pelajar sebuah sekolah tinggi dengan kandungan yang semakin membesar, Gaby Rodriguez akhirnya membuat pengakuan mengejutkan - dia sebenarnya tidak pernah hamil.
Rodriguez, 17, membuat pendedahan itu minggu ini semasa menghadiri perhimpunan pagi Sekolah Tinggi Toppenish di sini selepas guru dan rakan sekolahnya menyangka dia telah enam bulan mengandungkan anak luar nikah.
Pelajar berkenaan yang mendapat semua A dalam mata pelajarannya sebaliknya memberitahu, dia berpura-pura hamil untuk menyiapkan projek tahun akhirnya yang bertajuk:Stereotaip, Khabar Angin dan Statistik.
Sebagai bukti dia berkata benar, Rodriguez mengeluarkan bantal yang diikat dengan menggunakan wayar pada perutnya di hadapan para pelajar lain.
Seterusnya, dia memberitahu, kajian sosial itu dirahsiakan dan hanya diketahui oleh seorang rakannya, ibunya, teman lelakinya dan pengetua sekolah berkenaan serta segelintir yang lain.
"Saya mahu membuang bantal ini dan tidak mahu lagi meneruskannya," katanya kepada akhbarYakima Herald-Republic selepas mendedahkan berita tersebut.
Selepas Rodriguez membuang 'perut palsunya', ramai antara 700 pelajar sekolah itu, pada mulanya terkejut, namun mereka lantas bangun memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
Mengulas mengenai tindakan pelajarnya itu, pengetua sekolah berkenaan, Trevor Green berkata, Rodriguez patut dipuji kerana komitmennya meneruskan projek tersebut.
"Dia mengorbankan tahun akhirnya semata-mata untuk mengetahui bagaimana perasaannya menjadi seorang ibu pada usia remaja. Saya mengagumi keberaniannya," kata pengetua tersebut.
Kisah pelajar berkenaan mendapat liputan meluas di AS dengan Rodriguez diundang ke rancangan bicara pagi popular, Today kelmarin untuk menceritakan pengalamannya. - Agensi

No comments: