Pages

Thursday, April 14, 2011

Hosni ditahan selepas diserang sakit jantung


BEBERAPA anggota polis mengawal sebuah hospital yang menempatkan Hosni Mubarak di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, diserang sakit jantung kelmarin semasa beliau disoal siasat di pusat peranginan Sharm El Sheikh, pesisir Laut Merah kelmarin, kata beberapa pegawai keselamatan.
Pemimpin berusia 82 tahun itu memasuki sebuah hospital di Sharm el-Sheikh untuk mendapatkan rawatan.
Pejabat pendakwa raya menyatakan, ketua pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmud mengarahkan Hosni dan dua anak lelakinya ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat berhubung arahan menyerang para penunjuk perasaan.
Penahanan tiga anak beranak itu dibuat berhubung dakwaan bahawa mereka mengarahkan pasukan keselamatan menembak para penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir pada Januari dan Februari lalu.
Protes menentang Hosni berakhir dengan peletakan jawatan presiden itu pada 11 Februari lalu dengan hampir 800 orang maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Seorang saksi memberitahu, Hosni tiba di hospital berkenaan dengan memakai baju dan seluar trek.
Sebuah akhbar tempatan, Al-Ahram yang memetik beberapa sumber melaporkan bahawa Hosni pergi ke hospital itu dengan berpura-pura sakit bagi mengelak daripada disoal siasat.
Namun, beliau mengalami serangan jantung semasa ditahan kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, Hosni akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Antarabangsa di pinggir ibu kota Mesir, di sini, untuk menjalani rawatan lanjut semasa berada dalam tahanan polis.
Turut ditahan ialah dua anak lelaki beliau, Gamal dan Alaa Mubarak.
Agensi berita rasmi MENA melaporkan kawalan keselamatan diperketatkan di bilik hospital Sharm El Sheikh, tempat Hosni ditahan.
MENA melaporkan bahawa Gamal dan abangnya Alaa diberikan pakaian seragam banduan, tilam dan selimut selepas mereka menyerahkan telefon bimbit masing-masing di sebuah penjara.
Adik beradik berkenaan kelihatan terkejut dan enggan memakan sarapan yang diberikan kepada mereka.
Menteri Kehakiman, Abdel Aziz al-Guindi berkata, pihak pendakwa raya mula menyoal siasat Hosni dan dua anak lelakinya kelmarin.
Stesen televisyen melaporkan bahawa Hosni enggan makan dan minum sejak diberitahu pada pagi kelmarin bahawa beliau akan disoal siasat.
Menurut Abdel Aziz, soal siasat terhadap anak beranak itu berhubung kekayaan mereka yang didakwa diperoleh menerusi salah guna kuasa dan rasuah masih belum bermula.
Selepas beliau meletak jawatan, Hosni dan keluarganya berpindah ke Sharm el-Sheikh.
Walaupun dikenakan larangan ke luar negara, beliau sebelum ini tidak dikenakan sebarang tahanan.
Bantahan bagi menuntut Hosni dibicarakan diadakan pada setiap minggu dengan disertai puluhan ribu orang dan berakhir dengan pertempuran berdarah antara kumpulan penunjuk perasaan dan tentera pada Sabtu lepas.
Keadaan itu berlaku apabila tentera bertindak bagi menyuraikan para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini. - AFP

No comments: