Pages

Sunday, March 13, 2011

PM Jepun arah operasi menyelamat mega

Kosmo!



DUA orang berjalan semalam dekat beberapa buah kereta yang dihanyutkan ombak tsunami di Miyako, timur Jepun.


TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan (gambar) semalam mengarahkan operasi menyelamat besar-besaran melibatkan lebih 50,000 anggota tentera selepas gempa bumi kuat dan ombak besar tsunami mengorbankan lebih 1,000 orang di timur laut Jepun.
Beliau memberitahu, sekitar 200 pesawat tentera dan 25 buah kapal akan dihantar ke timur laut Jepun, bahagian yang paling teruk terjejas dalam malapetaka itu.

Dua gerabak kereta api musnah akibat dipukul ombak tsunami di bandar Shinchi, Jepun semalam.


"Saya mengarahkan operasi besar-besaran kerana menyedari betapa dahsyat kemusnahan yang dicetuskan oleh tsunami kali ini," kata Kan selepas meninjau kawasan-kawasan yang musnah dengan menaiki helikopter.

ORANG ramai dipindahkan dengan menggunakan helikopter di Sendai, timur laut Jepun semalam.


"Sebahagian besar rumah di pesisir pantai musnah sama ada dihanyutkan ombak tsunami atau hangus dalam kebakaran," tambahnya.
Angka kematian rasmi bencana tersebut setakat ini kekal melebihi 574 orang dengan 1,115 lagi masih hilang manakala 1,128 yang lain cedera.
Namun, pihak berkuasa percaya, beribu-ribu orang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan atau lemas dihanyutkan tsunami.

BANGUNAN-BANGUNAN dilitupi lumpur di bandar Ri kuzentakata, negeri Iwate, utara Jepun semalam.


Polis Jepun menyatakan, antara 200 hingga 300 mayat telah ditemui di Sendai, bandar paling hampir dengan pusat gempa terletak di timur laut Jepun.
Menurut pihak berkuasa, lebih 220,000 orang kini tinggal di lebih 1,350 penempatan sementara di lima negeri di timur laut Jepun dengan lebih 1 juta kediaman terputus bekalan elektrik dan air.

SEBUAH kapal kargo terdampar di tengah bandar Kesennuma, timur laut Jepun semalam selepas dihanyutkan tsunami.


Namun, pihak berkuasa berkata, banyak lagi mayat dipercayai tertimbus dalam timbunan runtuhan.
Setakat semalam, pekerja-pekerja penyelamat belum tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas akibat malapetaka tersebut.
Bahagian timur laut Jepun mengalami kemusnahan paling dahsyat dengan beberapa bandar diratakan selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan Jepun kelmarin dan mencetuskan gelombang tsunami setinggi 10 meter yang melanda daratan.
Sementara itu, masyarakat antarabangsa mula menghantar pasukan bantuan semalam bagi membantu mangsa-mangsa bencana di Jepun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lewat kelmarin mengumumkan empat pasukan penyelamat dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang dalam perjalanan ke negara matahari terbit itu. - Agensi

No comments: