Pages

Sunday, March 13, 2011

Tentera, wakil Kristian Mesir berunding

Utusan


KAHERAH 11 Mac - Pemerintah tentera Mesir dan wakil masyarakat Kristian Qibti yang melancarkan demonstrasi di tengah Kaherah sejak minggu lalu, mengadakan rundingan semalam di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat selepas satu pertempuran agama tercetus malam Selasa lalu.
"Satu dialog telah dimulakan antara sekumpulan wakil muda Kristian Qibti dan paderi dengan barisan kepimpinan tentera bagi mengakhiri konflik ini," umum stesen televisyen negara.
Pertempuran maut tercetus lewat malam Selasa lalu di daerah Moqattam di sini, apabila masyarakat Islam berhadapan 1,000 penganut Kristian yang menyekat jalan raya dalam satu bantahan berhubung kejadian gereja dibakar minggu lalu.
Kementerian Kesihatan melaporkan, seramai 13 maut dalam insiden itu sementara paderi besar gereja Moqattam, Boutros Roshdy berkata, tujuh daripada mangsa yang maut terdiri daripada penganut Kristian Qibti.
Lebih 1,000 penganut Kristian Qibti meneruskan bantahan di pekarangan stesen televisyen negara di Kaherah semalam, bagi menuntut pembinaan semula sebuah gereja yang dibakar di selatan ibu negara minggu lalu apabila satu pertelingkahan tercetus akibat hubungan cinta sepasang penganut Kristian dan Islam.
Bapa kepada pemuda Kristian itu dan gadis Islam tersebut maut dalam satu pertempuran sebelum gereja berkenaan dibakar keesokan harinya.
Penunjuk perasaan yang mengutuk kejadian tersebut turut menuntut Gabenor wilayah Helwan, lokasi insiden berlaku, meletak jawatan.
Sementara itu, golongan muda yang melancarkan revolusi sehingga memaksa peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak semalam melalui halaman Facebook, sekali lagi menyeru satu perhimpunan diadakan di Dataran Tahrir hari ini sebagai lambang 'penyatuan kebangsaan' rakyat Mesir.
Kumpulan itu turut menggesa rakyat 'mengelakkan provokasi atau cubaan menimbulkan kekacauan'.
Seruan itu dibuat berikutan kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang yang menyerang beratus-ratus aktivis prodemokrasi di dataran tersebut kelmarin. - AFP

No comments: