Pages

Sunday, March 13, 2011

Malaysia terdedah ancaman gempa dari negara jiran


pix_gal0
KUALA LUMPUR: Malaysia tetap terdedah kepada gegaran kuat dan ancaman tsunami jika gempa bumi berskala melebihi tujuh pada skala Richter melanda negara jiran, kata Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Rosaidi Che Abas.

Katanya, keadaan itu bergantung kepada tahap kekuatan gegaran itu seperti berlaku di Padang, Indonesia tahun lalu hingga menyebabkan kawasan pantai barat Semenanjung turut merasai gegarannya.
“Bagaimanapun, pada umumnya Malaysia masih selamat daripada mengalami gempa bumi berukuran besar kerana negara berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
“Namun, Malaysia tidak terlepas daripada ancaman tsunami kerana negara ini dikelilingi laut seperti yang pernah berlaku selepas gempa bumi berskala 9.3 pada skala Richter melanda Acheh pada 26 Disember 2004,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Rosaidi berkata, tsunami yang terhasil selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di pantai Honshu, timur laut Tokyo kelmarin boleh melanda sekitar pantai Sabah.

“Kita masih memantau perkembangan itu dan mengeluarkan amaran meminta penduduk sekitar pesisir pantai Sabah dan Labuan berjaga-jaga kerana dikhuatiri tsunami mungkin sampai ke sana,” katanya.

Sementara itu, penyelidik gempa bumi Prof Dr Azlan Adnan, berkata berdasarkan kajiannya walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini terdedah kepada ancaman gempa yang berlaku di negara jiran.
Azlan yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tsunami yang berpunca daripada gempa bumi di Jepun kelmarin tidak mustahil boleh melanda kawasan pantai utara Sabah dan pantai timur Semenanjung.

“Tsunami yang terhasil selepas gempa bumi itu boleh memberi kesan sehingga beratus kilometer jauhnya dari pusat gempa berdasarkan kekuatan gempa bumi itu,” katanya.

No comments: