LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penyanyi terkenal, Michael Jackson pernah memberitahu anak perempuannya Paris bahawa: "Jika saya mati esok, sentiasa ingat akan pesanan saya."
Paris berkata, bapanya yang bergelar Raja Pop itu turut memberi galakan supaya dia mengembangkan bakat lakonannya.
Dalam wawancara solo kali pertama di televisyen kelmarin, Paris yang akan membintangi filem pertamanya tidak lama lagi menyatakan, dia minat untuk berlakon sejak kecil.
Menurut remaja berkenaan, pada awalnya dia menganggap perbuatan bapanya memaksa dia dan adik beradik lain memakai topeng sebagai 'bodoh'.
"Saya pada mulanya berfikir, bodohnya, mengapa saya perlu memakai topeng muka?" katanya sebelum menambah. "Apabila saya semakin berusia saya akhirnya sedar bahawa dia cuma mahu melindungi kami." kata Paris.
Menurutnya, dia dan adik-beradiknya iaitu Prince Michael dan Blanket dipaksa memakai topeng muka sewaktu kecil bagi melindungi identiti mereka.
Paris muncul dalam rancangan bual bicara popular AS yang dihoskan oleh Ellen DeGeneres semasa diwawancara itu.
"Saya tahu bapa saya pandai menyanyi tetapi saya tidak tahu dia boleh berlakon. Apabila saya melihat lakonannya dalam filem Moonwalker (1988) saya berkata, hebatnya, saya mahu menjadi sepertinya (Jackson)," ujar gadis itu.
"Kami berlatih berlakon bersama, dia akan memberikan beberapa senario dan memberi arahan seperti dalam adegan ini kau akan menangis dan saya akan terus menangis," tambahnya.
Ditanya sama ada dia boleh menangis secara spontan, Paris memberitahu: "Ya, walaupun kerap kali saya bukan benar-benar menangis."
"Bapa saya berkata, jika dia mati esok, sentiasa ingat pesanannya dan saya mengingati dan menurut semua pesanan itu." ujarnya.
Paris yang berusia 11 tahun ketika Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009 akan membintangi sebuah filem animasi, Lundon's Bridge and the Three Keys yang diadaptasi daripada sebuah siri buku cerita remaja. - AFP
No comments:
Post a Comment