Pelampau serang masjid

BAITULMAQDIS - Sekumpulan penyerang tidak dikenali, semalam cuba untuk membakar sebuah mas­jid yang sudah tidak lagi digunakan di Baitulmaqdis Barat dan turut menconteng pelbagai tulisan memaparkan sentimen anti-Arab pada dindingnya.

Serangan terbaru ke atas tempat ibadat itu dipercayai telah didalangi kumpulan pelampau Yahudi yang sememangnya menyasarkan orang Arab dan Palestin kononnya sebagai tindakan untuk membalas dendam.

Mereka turut melakukan vandalisme dan bertindak biadab de­ngan menconteng kata-kata kesat terhadap Nabi Muhammad SAW dan penduduk di rantau Arab.

Dalam satu kenyataan, polis Israel menyatakan mereka telah melakukan siasatan awal di lokasi kejadian.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebahagian dinding masjid telah terbakar dan beberapa saluran paip turut dipecahkan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku dalam tempoh 24 jam selepas sekumpulan pelampau Yahudi menyerang pangkalan tentera di utara Tebing Barat dan turut merosakkan kenderaan di situ.

Dalam satu kejadian berasi­ngan, sebuah kereta milik penduduk Palestin juga diserang sebelum dibakar oleh mereka.