Tarikh : December 16, 2011
MELAKA - Seorang pegawai Imigresen cedera dalam pergelutan dengan dua warga Afika ketika bertugas dalam Operasi 'Gagak Hitam' di Kota Laksamana di sini, semalam.
Pengarahnya, Kamalludin Ismail, berkata pegawainya itu, R Kunalan, 29, cedera di bahagian rusuk kiri, lutut dan lengan akibat ditumbuk dan dilempar dengan kerusi dalam operasi kira-kira jam 1.45 tengah hari.
"Beberapa anggota lain turut mengalami kecederaan kecil seperti terseliuh dan lebam di beberapa anggota badan di lokasi lain di tempat yang sama dalam operasi sehari itu yang bermula jam 1 tengah hari hingga 8.30 malam," katanya kepada pemberita di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.
Katanya dalam kejadian berasingan, seorang warga Afrika turut mengalami kecederaan serius di kepala apabila terlanggar tiang ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Imigresen.
Sementara itu beliau berkata hasil operasi sehari yang melibatkan 16 anggota Imigresen itu berjaya menahan tujuh warga Afrika berusia antara 21 hingga 51 tahun yang disyaki memiliki pas palsu dan tiada dokuman pengenalan.
"Siasatan awal mendapati tiga daripadanya memiliki pas palsu sementara empat lagi tiada dokumen pengenalan diri. Kita juga akan menyiasat sekiranya mereka turut terlibat dalam aktiviti tidak sihat atau menyalahi undang-undang negara," katanya.
Kamalludin berkata mereka terdiri daripada enam warga Nigeria dan seorang warga Afrika Selatan di mana lima daripadanya ditahan di sekitar Kota Laksamana sementara dua lagi di sekitar Pasaraya The Store, Jalan Tun Ali di sini.
Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga milik salah seorang suspek yang ditahan.
Beliau berkata kesemua yang ditahan itu telah dibawa ke Depot Tahanan Machap Umboo untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memiliki cop palsu, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan Seksyen 56(1)(g) akta sama iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugasan.
No comments:
Post a Comment