2011/11/02
PEGAWAI universiti Kesihatan Fujita, Yukari Suzuki (kiri) menunjukkan cara robot prototaip ciptaan Toyota membantu pemindahan pesakit.
TOKYO: Syarikat kenderaan gergasi, Toyota, semalam menunjukkan bagaimana satu robot prototaip mengangkat pesakit atau orang kurang upaya (OKU) daripada katil di hospital atau membantu mereka berjalan.Firma berkenaan merancang untuk memasarkan produk itu sebagai ‘alat membantu berjalan’ selepas 2013 sekali gus berpotensi meletakkannya sebagai pengasas industri besar di Jepun, salah sebuah negara yang ramai warga tua.Profesor yang pakar dalam rawatan pemulihan, Eiichi Saitoh, menunjukkan cara alat bantuan berjalan itu berfungsi dengan mengikat tali metalik pada kaki kanannya yang lumpuh akibat polio.
Dia menunjukkan kepada wartawan di kilang Toyota di Tokyo bagaimana tali itu boleh membengkokkan lutut apabila dikehendaki, membolehkan dia berjalan dengan lebih normal dan bangun daripada kerusi lebih mudah berbanding menggunakan alat bantuan berjalan sedia ada.
Memakai bateri yang kelihatan seperti beg sandang, Saitoh naik dan turun tangga dengan mudah. Katanya, dia mencuba mesin dihasilkan itu dengan pesakit lain dan yakin dapat membantu pulih lebih cepat daripada serangan angin ahmar dan penyakit yang menghalang pergerakan.
“Mungkin sukar meramal masa depan tetapi era masyarakat warga emas semakin dekat. Kita perlukan robot untuk teruskan kehidupan,” katanya.
Toyota juga mempamerkan mesin dengan lengan berlapik yang dapat membantu pekerja kesihatan mengangkat pesakit kurang upaya daripada katil dan mengangkat mereka. Satu lagi alat bantuan berfungsi seperti papan luncur bertujuan membantu pesakit belajar mengimbangi badan semula.
Pegawai Toyota berkata, teknologi untuk kenderaan seperti pengesan, motor dan perisian komputer digunakan dalam peralatan berkenaan bagi membantu pesakit bergerak, dan apa yang mereka belajar mengenai pergerakan berkemungkinan akan digunakan dalam kereta pada masa depan.
Harga dan rancangan jualan di luar negara bagi semua mesin berkenaan masih belum diputuskan, menurut syarikat berkenaan.
Pengurus Besar Toyota, Akifumi Tamaoki, berkata lebih banyak ujian perlu dilakukan ke atas manusia untuk memastikan tahap keselamatan dan kebolehannya selain mendapatkan reaksi pengguna.
Dia percaya, produk komersil yang masih dalam pembinaan itu akan lebih kecil dan ringan berbanding prototaip ditunjukkan.
“Kami mentakrifkan mesin ini sebagai rakan robot,” katanya.
Toyota, sebelum ini menunjukkan robot berbentuk manusia dapat meniup trompet dan menggesek biola, dan robot yang bergerak serta bercakap mengenai kereta keluaran Toyota di bilik pameran.– AP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment