Pages

Wednesday, November 2, 2011

Libya pilih Perdana Menteri baru

2011/11/02
AL-KEIB (kiri) bersama Abdel Jalil selepas pengundian memilih pemimpin di Tripoli, kelmarin.
AL-KEIB (kiri) bersama Abdel Jalil selepas pengundian memilih pemimpin di Tripoli, kelmarin.
Pemerintah sementara lantik ahli teknokrat ketuai negara

TRIPOLI: Pemerintah sementara Libya kelmarin melantik seorang pakar teknokrat dan ahli perniagaan untuk mengetuai kerajaan peralihan ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menamatkan kempen udara yang membantu menggulingkan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi.
Abdel Rahim al-Keib yang juga penduduk asal Tripoli, dilantik sebagai Perdana Menteri dalam undian yang dijalankan di kalangan anggota Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Al-Keib yang tidak begitu dikenali sehingga kini, adalah ahli akademik yang pakar dalam kejuruteraan elektrikal. Dia mengalahkan empat calon lain selepas meraih 26 daripada 51 undi.

“Ini membuktikan rakyat Libya mampu membina sendiri masa depan mereka,” kata pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil, selepas undian tamat.

Al-Keib juga seorang ahli perniagaan berjaya menghabiskan masa berdekad di luar negara sebagai penentang Gaddafi sebelum menyertai revolusi pro-demokrasi yang menyaksikan penyingkiran pemimpin itu. Dia turut memberi sumbangan kewangan besar kepada NTC.

“Sudah tentu aspek utama programnya ialah menstabilkan negara, fail keselamatan dan tentera, yang akan dikawal Kementerian Dalam Negeri. Al-Keib juga menjanjikan untuk menyediakan keperluan asas rakyat Libya,” kata ketua hal ehwal politik NTC, Fathi Baja.
Awal kelmarin juga, ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen, melakukan lawatan singkat ke Tripoli dan berkata dia melihat tiada lagi tugas besar bagi pakatan itu di Libya beberapa jam sebelum misi udaranya berakhir secara rasmi.

“Pada tengah malam ini, satu lagi kejayaan NATO dalam sejarah akan berakhir. Namun, anda juga sudah mula menulis bab baru dalam sejarah Libya,” katanya.
Rasmussen bergegas untuk mengadakan rundingan secara langsung di Hotel Rixos tetapi kemudian berpeluang bercakap mengenai masa depan negara itu dengan sekumpulan 60 pemuda Libya.

Lawatan dibuat tujuh bulan selepas kuasa Barat membedil bertalu-talu peluru berpandu pertama terhadap tentera Gaddafi dalam serangan udara yang membantu menumbangkan pemerintahan pemimpin veteran itu.

Zon larangan terbang dan halangan laut, dikuatkuasakan oleh NATO sejak 31 Mac lalu dan berakhir satu minit sebelum tengah malam kelmarin waktu Libya, seperti yang ditetapkan oleh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, menamatkan mandat misi pakatan itu.

Operasi NATO ditamatkan walaupun Abdel Jalil meminta pakatan itu kekal sehingga akhir tahun ini, dengan amaran puak yang setia kepada Gaddafi masih memberi ancaman.

Bagaimanapun, NATO menyifatkan penduduk awam selamat daripada serangan selepas rejim baru Libya mengisytiharkan pembebasan negara itu berikutan kematian Gaddafi dan kejatuhan bandar kelahirannya, Sirte, 30 Oktober lalu. – AFP Berita Harian Online | Libya pilih Perdana Menteri baru:

'via Blog this'

No comments: