Pages

Wednesday, November 2, 2011

Al-Keib jadi PM sementara Libya


TRIPOLI 1 Nov. - Seorang ahli perniagaan, Abdul Raheem al-Keib dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara Libya dalam satu undian oleh ahli Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.

Dilahirkan di Tripoli pada 1950, Abdul Raheem memperoleh 26 daripada 51 undian dan menewaskan empat calon, antaranya Menteri Hal Ehwal Minyak bagi kerajaan sementara Libya, Ali Tarhuni dan pesaing politik yang pernah dipenjarakan Muammar Gaddafi, Idriss Abu Fayed.

Abdul Raheem pernah mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan elektrikal di Amerika Syarikat (AS) sekitar 1980-an dan menjadi tenaga akademik di Tripoli University serta bertugas di Institut Petroleum di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketika berucap selepas pelantikan tersebut, beliau berikrar untuk mengutamakan hak asasi manusia dalam pentadbirannya.

''Kami memberi jaminan untuk membina sebuah negara yang menghormati hak kemanusiaan dan tidak akan menerima sebarang pencabulan hak terbabit.

''Namun, kami memerlukan masa,'' katanya.

Pemerhati politik melihat pelantikan Abdul Raheem 'melegakan' kebimbangan rakyat Libya berhubung kepimpinan negara itu selepas kematian Gaddafi dalam satu serangan baru-baru ini.

Beliau menggantikan Mahmoud Jibril yang berjanji meletak jawatan selepas berjaya mengisytiharkan pembebasan Libya.

Abdul Raheem berkata, pentadbirannya akan bekerjasama dengan pejuang NTC bagi memastikan kestabilan dan membebaskan Libya daripada konflik ketenteraan.

Menurutnya, Kabinet baru akan dibentuk dalam masa dua minggu ini. - AFP/REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: