NEW YORK 1 Nov. – Ribut salji yang melanda timur laut Amerika Syarikat (AS) sejak minggu lalu telah mengorbankan 12 nyawa dengan lebih 2 juta rumah masih terputus bekalan elektrik.
Pihak berkuasa berkata, daripada 12 angka korban itu, lima terbunuh di Pennsylvania, tiga di Massachusetts manakala masing-masing dua di Connecticut dan New Jersey.
Ribut salji yang jarang berlaku di kawasan itu juga menyebabkan beberapa lapangan terbang terpaksa ditutup termasuk di Hartford Connecticut.
Bagaimanapun, lapangan terbang di New York dan laluan kereta api yang menghubungkan Washington dan Boston beroperasi seperti biasa selepas terjejas teruk minggu lalu.
Di New Jersey, kira-kira 400,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik.
Gabenor New Jersey, Chris Christie berkata, dijangka 95 peratus rumah di kawasannya akan memperoleh kembali bekalan elektrik hujung minggu ini.
Di utara Connecticut, Gabenor Dannel Malloy berkata, lebih 800,000 rumah masih bergelap ekoran gangguan bekalan elektrik dan ia akan dapat diselesaikan dalam beberapa hari lagi.
Katanya, beratus-ratus jalan raya terputus hubungan ekoran salji tebal dan ia merupakan ‘bencana’ terburuk dalam sejarah Connecticut.
‘‘Ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing kerana tiada bekalan elektrik,’’ ujarnya.
Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara, ribut salji terburuk melanda timur laut AS dengan salji setebal 80 sentimeter. – AFP/REUTERS
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment