Pages

Wednesday, October 26, 2011

325 bilion baht untuk pulih ekonomi thailand



MANGSA banjir menggunakan rakit buatan sendiri untuk bergerak dari kediaman mereka yang ditenggelami air di Rangsit, Pathum Thani di luar Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 25 Okt. - Kerajaan Thailand hari ini meluluskan 325 bilion Baht (kira-kira RM32.5 bilion) untuk memulihkan ekonomi negara setelah negara itu masih berdepan dengan bencana banjir paling buruk dalam beberapa dekad.

Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala berkata, belanjawan berkenaan bertujuan untuk membantu usahawan kecil hingga usahawan utama yang terjejas oleh banjir bagi membina semula perniagaan mereka.

Katanya, 65 bilion Baht (kira-kira RM6.5 bilion) telah diperuntukkan untuk usahawan utama, 170 bilion Baht (kira-kira RM17 bilion) untuk usahawan kecil dan sederhana manakala baki 90 bilion Baht (RM9 bilion) adalah untuk usahawan kecil.

Lebih daripada 14,000 kilang, yang mempunyai kira-kira 660,000 pekerja, terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat-peringkat sejak 25 Julai lepas.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dibanjiri dengan 2.4 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 28 wilayah di kawasan utara dan tengah yang terjejas oleh banjir.

Mengenai perkembangan banjir, tumpuan pada kawasan dalam ibu negara, setelah bahagian utara, timur dan barat telah dilanda banjir.

Malah Pusat Arahan Operasi Bantuan Banjir (FROC), yang terletak di Lapangan terbang Don Muaeng, tidak terkecuali daripada ancaman banjir setelah air banjir melanda jalan raya di hadapan pusat itu hari ini.

Pengarah FROC Pol Gen Pracha Promnok, yang juga Menteri Keadilan, berkata pusat itu akan kekal di situ dan usaha-usaha telah dibuat untuk melindunginya daripada banjir.

"Kami tidak akan memindahkan pusat banjir pada masa ini. Kami masih boleh bekerja dari sini," kata beliau kerana kira-kira setengah daripada daerah Don Muaeng terletak di utara Bangkok telah dibanjiri air sedalam 0.5 meter.

Lapangan terbang Don Muaeng, yang mengendalikan penerbangan domestik, menghentikan sementara perkhidmatan mulai hari ini dan dua syarikat penerbangan tempatan "Nok Air" dan "One 2 Go Airlines" telah memindahkan operasi mereka buat sementara waktu ke Lapangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Lembaga Metropolitan Bangkok semalam memberi amaran bahawa empat bilion meter padu air banjir akan melanda ibu negara esok tetapi dewan bandar raya boleh menyalurkan 400 juta meter padu air sehari.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan Diraja berkata ia tidak bermakna ibu negara itu akan serta-merta di bawah satu hingga dua meter air memandangkan aliran akan datang dengan perlahan-lahan, dan sedikit demi sedikit dalam satu hari ia boleh meningkat kepada hanya dua hingga tiga sentimeter.

Ia akan mengambil masa kira-kira sebulan bagi isi padu besar itu disalirkan ke laut, katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan hari ini mengumumkan cuti khas untuk pejabat-pejabat kerajaan di semua wilayah yang dilanda banjir dari 27 Okt hingga 31 Okt, ditambah hujung minggu.

Jurucakap kerajaan, Thitima Chaisang berkata cuti itu akan membolehkan mereka bersedia untuk keadaan banjir semasa yang dijangka lebih mencabar dengan air pasang laut yang tinggi dalam tempoh tersebut.

Bagi sektor swasta, ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikutnya, kata beliau. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: