Pages

Sunday, August 21, 2011

Reman suspek penyerang pelajar Malaysia dilanjutkan




LAKARAN pelukis mahkamah menunjukkan Reece Donovan, suspek yang didakwa kerana menyamun pelakar Malaysia, Asyraf Rosli (gambar kecil).


LONDON, Britain - Tahanan reman ke atas seorang lelaki yang didakwa menyamun dan mencederakan pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli dilanjutkan selepas dia dihadapkan semula ke mahkamah kelmarin.
Lelaki berkenaan, Reece Donovan pertama kali dihadapkan di sebuah mahkamah tempatan 13 Ogos lalu kerana menyamun Asyraf di Barking, timur bandar raya ini semasa beberapa bandar utama Britain dilanda rusuhan pada 8 Ogos lalu.
Donovan, 21, dituduh mencuri sebuah konsol permainan video dan sebuah telefon bimbit milik pelajar jurusan perakaunan tersebut.
Insiden itu yang dirakam kamera sistem litar tertutup (CCTV) pihak berkuasa tempatan, menunjukkan beberapa lelaki kelihatan cuba membantu Asyraf, 20, untuk berdiri selepas rahangnya patah akibat menjadi mangsa serangan sekumpulan perusuh yang turut mencuri basikalnya.
Namun, mereka kemudian dilihat menyelongkar dan melarikan barangan di dalam beg sandang pelajar itu.
Klip video kejadian itu yang mencetuskan kemarahan orang ramai, telah ditonton lebih 3 juta kali di Internet.
Muncul di Mahkamah Diraja Wood Green, utara bandar raya ini untuk perbicaraan awal kes berkenaan Donovan dilihat memakai baju-T kelabu dan seluar trek biru.
Dia yang tidak membuat sebarang pengakuan, sebelum ditahan semula sementara menunggu kes itu dibicarakan pada untuk 10 Oktober depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf ketika bercakap pada satu sidang media di sini pada Khamis lalu menyatakan, insiden yang menimpa dirinya tidak akan berlaku di Malaysia.
"Negara kami (Malaysia) adalah teratur manakala pasukan polis melakukan tugas mereka dengan lebih efisien," katanya.
Sebelum ini, beberapa perusuh yang terbabit dalam jenayah mencuri semasa rusuhan besar-besaran itu dihukum penjara di antara 18 bulan hingga empat tahun.
Lima orang maut manakala lebih 16 cedera dalam rusuhan tersebut yang tercetus akibat tindakan polis menembak mati seorang lelaki, lMarck Duggan. - AFP, kosmo

No comments: