RECEP bersama Shannon ketika remaja wanita itu bercuti ke Turki. |
Remaja lelaki itu, Recep Cetin yang berusia 17 tahun membawa dua wanita berkenaan ke kawasan hutan terpencil sebelum menikam mereka. Recep dikatakan berpacaran dengan Shannon Graham, anak kepada seorang daripada mangsa, Marion Graham sejak dua tahun lalu. Minggu lalu, Marion, 53, berbalah dengan Recep yang menggunakan nama samaran sebagai Alex kerana remaja itu didakwa menendang Shannon ketika pasangan berkenaan bertengkar.
Marion memberi amaran kepada Recep supaya tidak mengasari anak perempuannya. Bagaimanapun, pelayan terbabit mengancam untuk membunuh Marion sekiranya dia menjadi penghalang dalam perhubungannya dengan Shannon. Malam semalam, agensi berita kerajaan, Anatolia berkata, Recep mengaku membunuh Marion dan rakannya, Cathy Dinsmore, 53, yang kedua-duanya berasal dari Newry, County Down, Ireland utara.
Shannon kini diletakkan di bawah penjagaan pegawai kedutaan Ireland.
“Dia benar-benar ketakutan dan kami melakukan yang terbaik untuk menenangkannya,” kata seorang pegawai konsulat di kedutaan itu.
Marion, Cathy dan Shannon adalah pengunjung tetap ke Turki, di mana keluarga Marion memiliki kediaman percutian di tepi pantai di Kusadasi. Shannon dan Recep mula berpacaran selepas gadis itu dan ibunya mengunjungi restoran tempat Recep bekerja. Sejak itu, dia selalu terbang ke Turki untuk bertemu pelayan terbabit setiap kali cuti persekolahannya.
Khamis lalu, Recep menghantar Shannon menaiki bot di perairan Kusadasi sebelum menawarkan membawa Marion dan Cathy bersiar-siar ke Izmir.
Kedua-dua wanita itu dibawa menaiki kereta bapa Recep ke kawasan hutan terpencil di Buca, di mana mereka kemudian dibunuh remaja lelaki berkenaan.
“Memang ada yang tidak kena dalam perhubungan mereka,” katanya.
Seorang teman Shannon juga berkata, Recep adalah seorang pemuda yang sangat cemburu dan dia begitu terdesak untuk mengahwini Shannon. - Agensi, hmetro
No comments:
Post a Comment