OAK BLUFFS, Amerika Syarikat (AS) – Sementara menunggu perkembangan terbaru di Libya, Presiden AS, Barack Obama sempat bersantai sambil bermain golf, berehat di tepi pantai, mengunjungi restoran makanan laut dan melawat kediaman mewah milik seorang rakannya di kawasan percutian di Pulau Martha Vineyard, dekat sini kelmarin.
Sementara itu, beribu-ribu kilometer dari AS, pemberontak menyerbu ibu kota Libya, Tripoli dengan Muammar Gaddafi dilihat hampir pasti akan tumbang.
Walaupun bercuti selama tiga hari di Martha Vineyard, Obama kelmarin memantau situasi di Libya dengan rapi.
Ketika orang awam berhimpun di Dataran Hijau di Tripoli untuk meraikan kemenangan pemberontak, Obama pula seronok membeli makanan laut di sebuah restoran popular.
Apabila kumpulan wartawan bertanyakan reaksinya tentang Libya, Obama berkata, beliau akan membuat kenyataan apabila situasi di negara itu benar-benar jelas.
Namun, tidak lama kemudian Presiden AS itu mengadakan satu sidang media untuk mendesak Gaddafi, 69, supaya meletakkan jawatan dan melepaskan kuasanya.
“Rakyat Libya menunjukkan bahawa perjuangan demi maruah dan kebebasan mengatasi kuku besi seorang diktator (Gaddafi),” kata Obama.
Presiden AS itu bercuti bersama isterinya, Michelle dan dua anak perempuan mereka Sasha dan Malia serta diiringi beberapa penasihat kanan Washington.
– AP
No comments:
Post a Comment